MALAYSIA
MYFutureJobs pemacu utama strategi pekerjaan Malaysia jadi tumpuan utama bengkel OIC

(Dari kiri) Datuk Seri Subahan Kamal, Nabila Samir Abunejeila, Datuk Azman Mohd. Yusof, Hasil Abbasov, Steven Sim Chee Keong, Zehra Zümrüt Selçuk, Emir Salim Yuksel, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed & Mehmet Altun - PERKESO
KUALA LUMPUR: Platform padanan kerja tempatan negara, MYFutureJobs, meraih pengiktirafan sebagai model perkhidmatan pekerjaan digital merentasi negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ringkasan AI
- Platform padanan kerja tempatan negara, MYFutureJobs, meraih pengiktirafan sebagai model perkhidmatan pekerjaan digital merentasi negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
- Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, MYFutureJobs adalah pemacu utama strategi pekerjaan Malaysia di bawah seliaan kementeriannya.
- Beliau berkata, platform itu berjaya melonjak kadar penempatan pekerjaan secara ketara menerusi data masa nyata, analitik pasaran buruh dan padanan kerjaya menggunakan Kecerdasan Buatan (AI).
"Antara Januari hingga Mei tahun ini, MYFutureJobs merekodkan pendaftaran 111,459 pencari kerja, lebih 633,665 kekosongan jawatan diiklankan dan dengan individu berjaya ditempatkan ke dalam pekerjaan menjangkau 74,576 orang.
"Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) platform ini menjadikannya lebih responsif kepada pencari kerja dan majikan sekali gus meningkatkan kecekapan dan jangkauannya.
"MYFutureJobs bukan sekadar portal, sebaliknya merupakan medium nasional untuk merapatkan jurang kemahiran, membolehkan mobiliti kerjaya dan memastikan tenaga kerja kita kalis masa depan," katanya ketika merasmikan Bengkel OIC dalam Memperkasa Pencari Kerja: Amalan Terbaik Platform Digital.
Platform ini menjadi tumpuan utama Bengkel OIC, anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara-Negara Islam (SESRIC) serta Agensi Pekerjaan Awam Azerbaijan (APEA), di bawah Rangkaian Perkhidmatan Pekerjaan Awam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC PESNET).

(Empat dari kiri) Steven Sim Chee Keong memukul gong ketika merasmikan Bengkel OIC dalam Memperkasa Pencari Kerja: Amalan Terbaik Platform Digital di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Selasa. - Foto PERKESO
Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, diikuti delegasi dari seluruh rantau OIC.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari ini membawa peneraju perkhidmatan pekerjaan awam dari negara anggota OIC untuk meneroka inovasi digital dalam penyelesaian pasaran buruh.
Bengkel ini berlangsung pada saat genting di tengah kemelut menyaksikan banyak negara OIC bergelut dengan pengangguran belia, ketidakpadanan kemahiran dan penyertaan tenaga kerja wanita yang rendah, ditambah dengan inflasi global dan rangkaian dasar perlindungan ekonomi.
Tema bengkel ini selaras Pelan Kerja OIC PESNET 2024-2026 bertujuan membina pasaran buruh yang berdaya tahan dan futuristik melalui transformasi digital serta perkongsian pengetahuan dalam kalangan negara anggota.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, MYFutureJobs memainkan peranan signifikan dalam mengenal pasti jenis pekerjaan merudum dan baharu, dengan menggunakan ciri utama analitik data raya dalam platform berkenaan.
“Penemuan ini mencerminkan perubahan ketara dalam landskap pekerjaan global, di mana peranan tradisional seperti kemasukan data, tugas-tugas kerani dan pekerjaan di barisan pemasangan semakin dilupuskan secara berperingkat rentetan automasi.
“Pada masa sama, pertumbuhan pekerjaan baharu semakin pesat dalam bidang seperti AI, analisis data, keselamatan siber, teknologi hijau dan penjagaan kesihatan.
“Oleh itu, perkhidmatan dan inisiatif termasuk alat untuk membina kecekapan dan Kemahiran seperti Career Bridge dan Program Penerokaan Kerjaya (CEP), semuanya direka untuk meningkatkan pemahaman terhadap pasaran buruh,” katanya.
Steven Sim berkata, PERKESO bergiat aktif menyokong pekerja melalui peralihan ini dengan menggunakan MYFutureJobs untuk menyampaikan latihan semula yang disasarkan serta panduan kerjaya yang sejajar persediaan sektor masa hadapan.

Sesi bergambar antara barisan tetamu kehormat bersama peserta Bengkel OIC dalam Memperkasa Pencari Kerja: Amalan Terbaik Platform Digital di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Selasa. - Foto PERKESO
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami