MALAYSIA
MyIPO tawar diskaun RM300 bagi pendaftaran cap dagangan

Armizan pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM 2025) di sini, hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan diskaun sebanyak RM300 bagi setiap pendaftaran cap dagangan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tawaran ini akan dibuka selama empat bulan bermula 1 September sehingga 31 Disember tahun ini.
"Diskaun ini, fi asalnya adalah sebanyak RM950... jadi bermula 1 September hingga 31 Disember, pemohon hanya perlu membayar RM650 bagi setiap pendaftaran.
“Selain dilaksanakan bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan, ini adalah untuk menggalakkan pendaftaran cap dagang IP di kalangan entiti perniagaan di negara kita khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya.Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM 2025) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, inisitiaf ini sejajar dengan kempen ‘Lindungi Jenama Lokal, Tembusi Pasaran Global’.
Sementara itu, Armizan berkata, antara lain yang ditawarkan sempena Bulan Kebangsaan ialah perkhidmatan bas EzBiz On-The-Go 2.0 yang kini menampilkan reka bentuk lebih kontemporari dan mesra pelanggan termasuk penggunaan teknologi terkini, serta Kempen Shopee Payung 100.
"Salah satu rakan strategik kita di KPDN, khususnya dalam sektor e-dagang, iaitu Shopee membuat tawaran bersempena Bulan Kebangsaan yang turut complement inisitiaf kerajaan iaitu bantuan SARA RM100.
"Shopee tampil dengan inisiatif sendiri melalui Kempen Shopee Payung 100 yang menawarkan baucer RM100 bagi setiap pembelian RM1... peluang ini dibuka bermula 31 Ogos hingga 16 September dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang akan memberi manfaat kepada 100,000 pelanggan," jelasnya.
Tambah Armizan, inisitiaf yang dilaksanakan oleh agensi-agensi KPDN dan Shopee adalah manifestasi komitmen untuk menyantuni rakyat serta tanda penghargaan atas kebersamaan seluruh rakyat Malaysia dalam membina negara yang lebih aman dan makmur.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami