Skip to main content

Malaysia

MyKad generasi baharu tiada lagi kemudahan Touch 'n Go

PUTRAJAYA, 17 Sept - Puteri Nur Syafiqah Jailani (kiri) bersama Intan Syerina Ahmad Nizam menunjukkan kad pengenalan baharu pada hari pertama pengeluaran MyKad Generasi Baharu di Jabatan Pendaftaran Negara hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA *** Local Caption ***
Pengguna masih boleh menikmati perkhidmatan berkenaan menerusi Touch 'n Go eWallet atau kad Touch 'n Go yang berasingan. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: MyKad generasi baharu yang mula dikeluarkan hari ini tidak lagi menyediakan kemudahan Touch ’n Go.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi hantaran di media sosial memaklumkan pengguna masih boleh menikmati perkhidmatan berkenaan menerusi Touch 'n Go eWallet atau kad Touch 'n Go yang berasingan.

“Bagi pengguna yang ingin terus menggunakan perkhidmatan Touch ’n Go, kemudahan tersebut boleh digunakan melalui Touch ’n Go eWallet atau kad Touch ’n Go yang berasingan,” katanya.

Menurut kenyataan JPN, MyKad generasi baharu memberi fokus kepada fungsi utamanya sebagai dokumen pengenalan diri rasmi negara, selain menampilkan ciri keselamatan dan teknologi yang dipertingkat.

Dilengkapi 53 ciri keselamatan, MyKad generasi baharu dilengkapi keselamatan merangkumi Hologram Keselamatan Dinamik dan Transparent Window pada bahagian hadapan, hingga Kod QR Penguatkuasaan serta Cip Antara Muka Dwi Fungsi pada bahagian belakang.

Selain itu, MyKad baharu dijangka mampu meningkatkan keupayaan pengesahan identiti, selain mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Menurut kenyataan JPN itu, ciri tersebut berfungsi memperkukuh perlindungan MyKad daripada pemalsuan, manakala kod QR menyokong keperluan pengesahan dan penguatkuasaan.

Hologram keselamatan dinamik pula memaparkan imej tiga dimensi yang berubah mengikut sudut pandangan dan pencahayaan, sementara ciri UV menonjolkan elemen keselamatan tertentu yang hanya dapat dilihat di bawah sinaran UV.

Corak guilloche dan teks mikro turut diterapkan sebagai ciri keselamatan tambahan, manakala lapisan polikarbonat menjadikan MyKad lebih tahan terhadap suhu dan bahan kimia, sekali gus meningkatkan ketahanan kad.

Dalam pada itu, urusan pengeluaran MyKad generasi baharu boleh dibuat di 40 cawangan JPN yang dilengkapi pusat cetakan untuk mencetak MyKad dengan tempoh siap pada hari sama.

Bagi cawangan JPN yang tidak mempunyai kemudahan cetakan, permohonan MyKad generasi baharu masih boleh dibuat dengan tempoh siap lima hari bekerja.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement