Skip to main content

Malaysia

MyNIISe: Hanya 4 hingga 5 saat periksa penumpang di KLIA

SEPANG, 5 Mei -- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengadakan lawatan kerja dengan meninjau operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Saifuddin Nasution berkata, beliau meninjau sendiri proses integrasi sistem baharu itu di beberapa pintu masuk di seluruh negara bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS). - Bernama

SEPANG: Pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) dijangka mempercepatkan proses kemasukan pengembara di pintu masuk utama negara kepada hanya empat hingga lima saat. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau meninjau sendiri proses integrasi sistem baharu itu di beberapa pintu masuk di seluruh negara bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS). 

Advertisement

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati tempoh pemprosesan melalui sistem AutoGate berada dalam julat sekitar empat hingga lima saat, sekali gus membuktikan kecekapan teknologi berkenaan. 

"Saya sendiri ‘timing’ dan mendapati proses itu mengambil masa kira-kira empat hingga lima saat. Apabila kita uji dengan pengguna lain, tempohnya juga dalam julat yang sama.

"Ini merupakan game changer (pengubah keadaan), kita tidak mahu lagi berdepan keadaan lapangan terbang sesak sama ada sewaktu pelepasan ataupun ketibaan," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pengoperasian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini pada Selasa. 

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution mengakui kemungkinan berlakunya gangguan teknikal kecil sepanjang tempoh peralihan sistem, namun menegaskan ia proses biasa yang akan diminimumkan. 

Dalam masa sama, beliau berkata, aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan, terutama dalam pemeriksaan bagasi bagi memastikan tiada kemasukan barangan terlarang seperti dadah dan senjata.

Saifuddin Nasution berkata, disamping sistem MyNIISe, KLIA turut dilengkapi kira-kira 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) yang menjadi 'mata-mata' memperhatikan setiap ruangan di lapangan terbang itu.

Katanya, keselamatan negara kekal menjadi keutamaan Kementerian melebihi keperluan melancarkan pergerakan pelawat asing yang masuk ke Malaysia.

Menurutnya, pihak AKPS turut melaksanakan laluan khas iaitu Nothing to Declare dan Goods to Declare untuk mempercepat aliran penumpang tanpa menjejaskan pematuhan undang-undang.

"Pendekatan risk profiling dan intelligence-led enforcement turut dilaksanakan yang difokuskan kepada penumpang berisiko tinggi. Ini bermakna dalam fasa kedua, AKPS akan diberi keutamaan untuk menambah aset berasaskan teknologi," katanya.

Must Watch Video