Skip to main content

Malaysia

MySPECS perluas akses penjagaan mata mampu milik di seluruh negara - Dr Wan Azizah

Dr Wan Azizah pada pelancaran awal MySPECS hari ini. - Gambar Bernama
Dr Wan Azizah pada pelancaran awal MySPECS hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Inisiatif MySPECS bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan memulihkan penglihatan pada harga berpatutan di seluruh negara, dengan perancangan untuk membangunkan daftar atau pangkalan data bagi memperkukuh pemantauan, penilaian program dan penambahbaikan perkhidmatan.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata inisiatif itu memberikan penekanan khusus kepada kanak-kanak kerana masalah penglihatan yang tidak dirawat boleh menjejaskan pembelajaran, kemahiran motor dan perkembangan sosial. 

“Bagi keluarga B40 yang berdepan cabaran kos sara hidup, kekangan perbelanjaan untuk membeli cermin mata tidak sepatutnya berlaku. Dalam sebuah Malaysia yang progresif, potensi setiap kanak-kanak tidak seharusnya dibatasi oleh kekangan kewangan atau lokasi,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran awal MySPECS di sini hari ini.

MySPECS, yang dibangunkan menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), selaras dengan inisiatif global SPECS 2030 untuk menyediakan penjagaan ralat refraksi yang berkualiti, mampu milik dan berpusatkan individu kepada semua peringkat umur.

Program itu menggunakan pendekatan menyeluruh yang merangkumi pencegahan dan kesedaran, saringan, rawatan dan kawalan, tadbir urus serta pemantauan, di samping memastikan individu yang memerlukan penilaian lanjut atau penjagaan mata khusus dirujuk kepada pihak yang bersesuaian.

Dr Wan Azizah, yang juga bekas pakar oftalmologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), berkata masalah penglihatan yang tidak ditangani boleh menjejaskan keselamatan di tempat kerja, sumber pendapatan isi rumah dan keupayaan warga emas untuk hidup berdikari.

“Kita perlu mengubah pendekatan negara daripada rawatan selepas masalah berlaku kepada pengurusan kesihatan secara proaktif, seperti pemeriksaan berkala dan intervensi awal bagi semua peringkat umur, untuk melindungi penglihatan serta memperkukuh daya tahan kesihatan negara,” katanya.

Beliau berkata penjagaan mata secara proaktif akan menjadi semakin penting apabila Malaysia menuju ke arah negara tua menjelang 2048, apabila lebih 14 peratus penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas. 

Peruntukan kesihatan sebanyak RM47.7 bilion di bawah Belanjawan 2027 dan kesaksamaan dalam kesihatan dan perlindungan sosial, khususnya bagi golongan rentan kekal sebagai pelaburan penting untuk masa depan negara.

Mengenai kesihatan mata kanak-kanak, Dr Wan Azizah berkata Malaysia boleh mempertimbangkan untuk menggabungkan pemeriksaan mata di sekolah dengan garis panduan gaya hidup yang menggalakkan aktiviti luar dan masa tanpa skrin, termasuk amalan detoks digital atau Hari Tanpa Media Sosial.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara KKM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan korporat dalam memperkukuh saringan, bantuan kebajikan dan akses kepada cermin mata.

Dr Wan Azizah juga menggalakkan organisasi korporat menyokong penjagaan mata menerusi tajaan cermin mata atau program sekolah angkat di luar bandar bagi membantu mengurangkan kekangan kewangan dan kesukaran mendapatkan perkhidmatan.

Sementara itu, KKM dalam kenyataan memaklumkan bahawa MySPECS dibangunkan berasaskan inisiatif rintis yang diperkenalkan pada 2025 dengan kerjasama Focus Point Caring Hearts Charity Foundation dan Yayasan Hasanah, termasuk usaha meningkatkan kesedaran guru mengenai masalah mata yang lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak serta melatih mereka menjalankan saringan penglihatan.

Inisiatif itu melibatkan saringan terhadap 1,774 murid dan warga emas, dengan 186 orang menerima cermin mata, manakala individu yang memerlukan penilaian lanjut dirujuk untuk rawatan yang bersesuaian.

Pelancaran awal itu susulan National Multistakeholder Workshop on Strengthening MySPECS Programme Implementation, yang berlangsung di sini pada 21 dan 22 Okt, menghimpunkan wakil agensi kerajaan, sektor penjagaan kesihatan, universiti, sektor swasta dan NGO untuk membincangkan keutamaan pelaksanaan program berkenaan.

Kementerian itu turut mengalu-alukan kerjasama organisasi awam dan swasta, institusi pendidikan, yayasan serta syarikat berkaitan kerajaan bagi memperkukuh saringan di sekolah dan komuniti, menyediakan kepakaran serta memperluas akses kepada pemulihan penglihatan pada harga berpatutan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement