PUTRAJAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 sebanyak lapan peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee pada majlis pengumuman agihan dividen DPK itu di sini hari ini berkata nilai keseluruhan agihan dividen itu berjumlah RM7.6 juta melibatkan 5,323 pelabur.

Menurutnya, DPK mencatatkan keuntungan RM9.05 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2020 berbanding RM9.29 juta tahun sebelumnya.

"Meskipun 2020 merupakan tahun yang sukar berikutan ketidaktentuan pasaran akibat pandemik COVID-19, Nafas melalui DPK telah fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli-ahlinya," katanya.

Dengan lebih sejuta ahli peladang terdapat di seluruh negara, Ronald berharap lebih ramai melabur dalam DPK bagi menikmati pelbagai manfaat tambahan serta membantu meningkatkan sumber ekonomi warga tani sekali gus mengukuhkan sektor pertanian negara secara keseluruhannya.

"Walaupun sebahagian besar ahli peladang belum sertai DPK, kita harap kejayaan demi kejayaan dicapai oleh pengurusan DPK ini dan berjaya beri dividen agak lumayan setiap tahun, lebih ramai ahli-ahli peladang membuat pelaburan dalam DPK," katanya serta memaklumkan saiz DPK sekarang adalah RM220 juta.

Menurutnya, antara kebaikan menyertai DPK ialah ahli boleh mendapatkan pembiayaan untuk pembelian jentera, pembukaan tanah ladang dan stesen minyak.

Ditanya mengenai nilai agihan dividen itu menurun kepada RM7.6 juta berbanding RM7.76 juta pada 2019, Ronald berkata ia dipengaruhi oleh keadaan ekonomi global yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19.

"Bagi DPK, walaupun kita berhadapan dengan faktor yang sama tetapi mereka masih berjaya mengekalkan kejayaan pada tahap lapan peratus dividen untuk tahun ini dan ini (menunjukkan) pihak pengurusan berjaya urus dana ini dengan baik," katanya.

Pengurus Besar Nafas Abu Sujak Sahuji berkata pihaknya merancang untuk meneroka peluang pelaburan baharu di bawah DPK antaranya membuka perniagaan Ar-Rahnu kerana dijangka mampu memberikan pulangan yang baik.

"Hujung tahun ini atau tahun depan kita akan lebih agresif lagi untuk membuat pelaburan (baharu)," katanya serta menambah semua pelaburan yang dibuat DPK melibatkan pelaburan dalam negara.

Mengenai pelabur baharu DPK, Abu Sujak berkata Nafas akan menggiatkan promosi bagi meningkat jumlah pelabur kepada 10,000 pelabur berbanding 5,323 pelabur ketika ini.

DPK dilancarkan pada 17 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan kewangan yang kompetitif serta menggembleng dana untuk diagihkan dalam bentuk pembiayaan dan pelaburan usaha sama kepada ahli serta rangkaian Pertubuhan Peladang.

Antara projek dibiayai DPK ialah tanaman semula ladang sawit, tanaman fertigasi, pembelian jentera pertanian, modal pusingan ternakan ayam dan stesen minyak.

-- BERNAMA