KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut manakala enam lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 57.2 Lebuhraya Senai-Desaru, Bandar Penawar, di sini, pada Ahad.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan sekitar jam 4.01 petang dan seramai 14 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, secara keseluruhan seramai 13 mangsa terlibat dalam kemalangan itu, manakala seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun meninggal dunia akibat tersepit di dalam kenderaan.

"Kemalangan jalan raya terbabit melibatkan kenderaan jenis Proton Pesona, Honda CRZ, Perodua Myvi, Perodua Bezza dan sebuah kereta Honda Insight.

"Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan Proton Pesona, manakala mangsa yang lain telah keluar sendiri sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi.

"Mangsa yang tersepit terpaksa dikeluarkan menggunakan alat penyelamat khas Stretcher dan Circular Saw.

"Kanak-kanak yang maut menaiki kenderaan Proton Persona, bersama seorang lelaki dan perempuan dewasa, berusia lingkungan 30-an yang turut dilaporkan cedera.

"Empat lagi perempuan dewasa yang menaiki kenderaan Honda Insight kesemuanya turut cedera," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad malam.

Jelas beliau, seorang perempuan dewasa di dalam kereta Honda CRZ dan seorang seorang perempuan dewasa yang memandu Perodua Bezza turut cedera akibat kemalangan terbabit.

Menurutnya, kesemua mangsa telah diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

"Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihakpolis untuk tindakan lanjut," katanya.