Skip to main content

Malaysia

Nahas helikopter: Jenazah Dr Ainul dijangka dibawa pulang ke Kelantan esok - Suami

KOTA BHARU, 8 Sept - Kamarudin Salleh, bapa kepada salah seorang penumpang helikopter yang terhempas berhampiran Long Lellang, Sarawak, Dr. Ainul Baroah, menunjukkan gambar anaknya (dua, kiri) bersama ahli keluarga ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini malam ini. Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOL
Kamarudin Salleh, bapa kepada Dr Ainul Baroah, menunjukkan gambar anaknya (dua, kiri) bersama ahli keluarga. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KOTA BHARU: Jenazah Allahyarham Dr Ainul Baroah Kamarudin, 33, dijangka dibawa pulang ke Kelantan esok sekiranya proses pengesahan identiti selesai.

Suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, berkata pihak Kementerian Kesihatan bersama-sama agensi berkaitan kini berusaha mempercepat proses tersebut bagi kelima-lima mangsa yang terkorban.

“Sekiranya proses itu selesai, jenazah arwah isteri saya dijangka dibawa pulang ke Kelantan untuk urusan pengebumian esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kelima-lima mangsa, termasuk isterinya, akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Kuching untuk dianalisis bagi membantu proses pengecaman.

“Barangan peribadi milik arwah juga sudah diserahkan kepada pihak berkuasa semalam untuk proses pengecaman,” katanya.

Muhammad Faiz berkata beliau bersama-sama ibu dan bapa mentuanya kini berada di sebuah hotel di Miri sementara menunggu perkembangan daripada pihak hospital dan pihak berkuasa.

“Buat masa ini kami sekeluarga belum dibenarkan melihat jenazah arwah dan masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa. Mungkin petang ini kami akan dibawa ke hospital,” katanya.

Pada Rabu lepas, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Menurut kenyataan itu, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ketika kejadian.

Dalam pada itu, Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Galong Luang mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia dalam kejadian pada kira-kira 3.40 petang.

Selain Dr Ainul Baroah, mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, iaitu Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement