KUALA LUMPUR:Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Demikian situasi yang dirasai oleh keluarga mangsa nahas insiden nahas helikopter dekat Taman Melawati tengah hari tadi.

Menurut  abang sulung Allahyarham Mohd Irfan Mohamed Rawi, Dr Mohd Ezani Mohamed Rawi, 48, pihak keluarga mengetahui arwah terlibat dalam nahas tersebut selepas melihat bahagian kiri lengan arwah di gambar-gambar yang tular di media sosial.

“Kita cam selepas tengok tangan, itulah yang kita tahu. Kita telefon beberapa pihak dan dimaklumkan akan bawa (jenazah) ke sini (HKL).

“Tiada siapa yang menghubungi lagi, dan hanya dapat maklumat akan bawa ke sini,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan  Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur.

Menurutnya, setelah gambar-gambar nahas mula tular, beliau dapat membuat pengecaman berdasarkan jenis helikopter yang terlibat dengan nahas tersebut.

"Helikopter biru itu antara yang kerap dia pandu kerana arwah kerap bergambar bersama helikopter itu,” katanya.

LAPOR LANGSUNG: Helikopter terhempas di Taman Melawati

Sementara itu, seorang lagi abang mangsa, Mohd Izni Zuhdi Mohamed Rawi, 45, berkata, beliau mengesyaki adiknya terlibat dalam nahas tersebut selepas gagal menghubungi mangsa.

“Saya cuba menghubungi kenalan beliau yang bersama di dalam helikopter.

“Daripada situ dapat maklumat yang beliau memang salah seorang yang berada di dalam helikopter tersebut.

“Setakat ini kita belum dapat membuat sebarang pengecaman wajah lagi,” jelas kepada Astro AWANI.

Berkongsi lebih lanjut, Mohd Izni menyifatkan arwah yang mempunyai lima cahaya mata merupakan seorang yang sangat meminati bidang penerbangan.



Selain itu, arwah turut disifatkan sebagai seorang yang berjiwa besar, tambahnya.

“Adik saya berjiwa besar dan tidak mudah menyerah kalah. Beliau akan usahakan sehingga berjaya satu-satu perkara dan matlamat itu.

“Pada satu peringkat dahulu beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan kerja makan gaji dan telah menubuhkan syarikat sendiri pada usia yang muda,” katanya.



Terdahulu, keluarga Allahyarham Mohd Irfan tiba di IFPN sekitar pukul 2.30 petang.

Kemalangan melibatkan dua buah helikopter (9M-HCA dan 9M-HCB) dari jenis G2CA yang sedang melakukan latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bersama 4 orang kru.

Selain Mohd Irfan, seorang lagi mangsa yang terkorban dikenali sebagai Mohd Sabri Baharom.

Sementara, dua lagi penumpang yang terselamat dari sebuah lagi helikopter terhempas berwarna merah dikenali sebagai Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan.