Skip to main content

Malaysia

Nahas helikopter Ulu Baram: Menteri Kesihatan imamkan solat jenazah Dr Ainul

https://www.sinarharian.com.my/article/796141/berita/semasa/nahas-helikopter-menteri-kesihatan-imamkan-solat-jenazah-dr-ainul
Dr Dzulkefly (kiri) bertemu dengan Kamarudin sebaik tiba di masjid dekat Pengkalan Chepa. Gambar kecil: Allahyarham Dr Ainul
Advertisement

KOTA BHARU: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diberi penghormatan oleh keluarga untuk mengimamkan solat jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, di Masjid Al-Karomah, Kampung Baung di sini pada Ahad selepas solat Zuhur.

Bapa Allahyarham, Kamarudin Salleh, 69, berkata, Dr Dzulkefly sudah berjanji untuk mengimamkan jenazah anaknya apabila tiba di Kelantan.

“Menteri Kesihatan sudah berjanji untuk mengimamkan solat jenazah anak saya sebelum dibawa pulang ke Kelantan.

“Ini satu rezeki buat Allahyarham,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Karomah, Kampung Baung, di sini.

Dr Ainul Baraah merupakan antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak.

Nahas berkenaan turut mengorbankan juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, Penolong Pegawai Perubatan, Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Kamarudin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu urusan kepulangan jenazah anaknya ke Kelantan.

“Terima kasih saudara-mara, sahabat dan seluruh yang mendoakan Allahyarham.

“Kami hargai ngatan dan doa yang diberikan kepada kami, terutamanya kepada Allahyarham,” katanya.

Kira-kira 1,000 jemaah hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah dan keluarganya dibawa pulang ke Kelantan menggunakan pesawat pengangkut C-130H Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia.

Jenazah bersama ahli keluarganya tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini pada jam 11.21 pagi.

Kepulangan jenazah Allahyarham ke kampung halaman itu membolehkan urusan solat jenazah dan pengebumian dilaksanakan di Kelantan. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement