Skip to main content

Malaysia

Nahas Jalan Kuching: Pemandu BYD didakwa esok susulan kematian kanak-kanak lima tahun

Rakaman tular insiden nahas yang meragut nyawa kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lalu. -Gambar Thread  @harezhasbullah
Rakaman tular insiden nahas yang meragut nyawa kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lalu. -Gambar Thread @harezhasbullah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemandu kereta elektrik BYD yang dipercayai terbabit kemalangan yang meragut nyawa kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, di sini, Sabtu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Trafik Jalan Duta, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah hospital swasta di Damansara, Petaling Jaya pada Rabu selepas dibenarkan keluar.

"Lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ditahan di lokap kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan pada jam 3 petang dan selepas perbincangan, pihak pendakwaan bersetuju supaya pemandu berkenaan dituduh di Mahkamah Majistret Trafik Jalan Duta pada jam 9 pagi, Khamis," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Rabu.

Mohd Zamzuri berkata suspek akan didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 41(1), Seksyen 42(1) dan Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian pada jam 3.44 petang itu, BYD Seal berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Bezza yang bergerak dalam aliran trafik perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.

Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berkenaan berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

Akibat kemalangan itu, penumpang Perodua Bezza, Asiah Ahmad Syahir, 5, mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pemandu Perodua Bezza berusia 30 tahun pula mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala.

Must Watch Video

Advertisement