MALAYSIA
Nahas tol Bukit Kajang: Kertas siasatan dikembalikan, tunggu laporan pakar

Shazeli bercakap pada sidang media mengenai Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini pada Khamis. - Foto Astro AWANI/Ikqwan Lee
SHAH ALAM: Kertas siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan sebuah lori di Plaza Tol Bukit Kajang pada 27 September lalu, yang meragut nyawa seorang bayi telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
Ringkasan AI
- Kertas siasatan kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, namun dikembalikan untuk melengkapkan laporan teknikal sebelum arahan pendakwaan dibuat.
- Pemandu lori berusia 42 tahun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan; pemilik syarikat tidak disiasat sebagai suspek tetapi telah diambil keterangan.
- Kemalangan melibatkan lori tiga tan yang dipercayai mengalami masalah brek, mengakibatkan seorang bayi maut dan tujuh cedera; lesen pengendali syarikat lori terbabit telah dibatalkan oleh APAD.
Menurut beliau, suspek yang merupakan pemandu lori berusia 42 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
Mengulas lanjut, Shazeli menjelaskan bahawa pemilik syarikat lori berkenaan bukan suspek dalam kes berkenaan, sebaliknya hanya pemandu lori tersebut yang disiasat.
“Tak adil untuk menjadikan pemilik syarikat sebagai suspek. Namun, semua pihak yang berkepentingan termasuk pemilik syarikat telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” jelas beliau lagi.
Dalam insiden kira-kira jam 10.50 pagi pada Sabtu, seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan maut, manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dilanggar sebuah lori yang disyaki mengalami masalah brek.
Pemandu lori terbabit mengaku melompat keluar dari kenderaan berat sebelum nahas tragik terbabit.
Kemalangan itu membabitkan sebuah lori tiga tan yang membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.
Sementara itu media melaporkan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah membatalkan lesen pengendali syarikat lori yang terbabit.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami