Jadi NSX baharu sudah tunjuk muka, dan di lokasi yang agak berbeza. Kali ini ia terbit – setelah kali terakhir dihasilkan pada tahun 2005 – di Amerika Syarikat pula. Di sini, nama NSX itu dipadankan dengan nama Acura, cabang Honda yang lebih premium dan mempunyai tumpuan untuk pasaran Amerika Utara.

Tempahan akan bermula pada musim panas (yang bermula sekitar bulan Jun, manakala penyerahan akan bermula pada akhir tahun).

Rekaan
Perubahan berbanding NSX asal adalah komprehensif dan hampir tidak ada ciri-ciri rekaan asal yang dibawa ke model baharu ini. Namun, paras bumbung yang rendah serta jarak antara tayar yang lebar tetap dikekalkan.

Kereta ini juga adalah lebih panjang (sebanyak 3 inci) dan lebar (+1 inci) berbanding Konsep NSX yang ditunjukkan pada tahun 2012.

Sebagai kereta berprestasi tinggi, segalanya dibuat untuk mengambil kira faktor aerodinamik tanpa melupakan keperluan penyejukan enjin. Oleh itu, perkara-perkara seperti lubang udara di hood, fender dan tepi kereta; selain spoiler sudah disempurnakan menggunakan maklumat daripada ujian terowong udara.

Kabin
Tumpuan juga diberikan kepada rekaan kabin NSX agar dapat memberikan kawalan optima untuk pemanduan. Honda menjelaskan bahawa dari aspek ini, supercar ini bagaikan direka ‘dari dalam-ke-luar‘.

Barisan meter dihasilkan oleh skrin TFT dinamik yang mampu untuk berubah mengikut maklumat yang dipilih pemandu melalui sistem dinamik bersepadu (Integrated Dynamic System). Sebuah butang kuasa terletak di konsol tengah, dan ia mengawal sistem sport hibrid NSX ini.

Bagaikan NSX terdahulu yang merupakan kereta pertama dengan badan dibuat sepenuhnya daripada aluminium, kali ini NSX generasi ke-2 dibuat menggunakan pelbagai bahan melalui proses pembuatan yang inovatif.

Sekarang, beberapa bahan moden, selain besi berkekuatan tinggi, dan kerangka dalaman daripada aluminium adalah bahan-bahan penting untuk rekaan ‘space-frame‘ yang menjadi luaran supercar ini.

Kuasa
Sepertimana NSX asal, model generasi ke-2 ini direka khusus untuk mencabar standard biasa bagi sebuah ’supercar‘. Sebuah enjin V6 rekaan baharu mengambil tempat di tengah-tengah casis; sebuah unit dengan dwi-turbo dan 2 barisan silinder yang dipisahkan dengan sudut 75-darjah.

Yang menjadi perhatian adalah sistem Sport Hybrid dengan 3 motor elektriknya. NSX baharu ini juga dipasang dengan kotak gear klac-berkembar 9 kelajuan.

Belum dinyatakan lagi mengenai output yang dihasilkan oleh kombinasi enjin dan motor elektrik ini, tetapi apa yang terhasil akan disalurkan ke semua roda menerusi apa yang Honda/Acura namakan sebagai Super-Handling All-Wheel Drive (SH-AWD).

(Klik untuk melihat galeri penuh)

Enjin V6 itu sendiri mendapat komponen yang selalu dikaitkan dengan peralatan berprestasi tinggi termasuk ‘valve train‘ yang kompak, dan juga sistem pelinciran ‘dry sump‘ untuk (antara lain) merendahkan lagi pusat graviti kereta ini.

Motor elektrik – yang terletak diantara enjin dan kotak transmisi – mengawal pecutan, brek dan prestasi penukaran gear. Tayar hadapan mendapat kuasa daripada sepasang motor elektrik output tinggi yang boleh bertindak secara bebas antara satu sama lain. Ia menghantar tork dengan pantas apabila diperlukan ke tayar kiri atau kanan.

Litar Nurburgring di negara Jerman merupakan lokasi di mana Acura/Honda menguji kemampuan pengendalian dan prestasi enjin ini.

Tambahan
NSX baharu ini dipasang dengan tayar ContiSportContact bersaiz 245/35Z R19 (depan) dan 295,30Z R20 (belakang); dengan kedua-dua hujung dilengkapkan dengan sistem suspensi bebas buatan aluminium sepenuhnya.

Kemampuan brek pula didokong oleh cakera karbon-seramik yang dipadankan dengan kaliper monoblok 6-omboh dan 4-omboh masing-masing untuk depan dan belakang.

‘Integrated Dynamic System‘ yang ada memberikan pilihan mod Quiet, Sport, Sport+ dan Track. Setiap satu mengubah sifat enjin, motor elektrik, transmisi dan tindakbalas casis. Di samping itu, kekuatan bunyi yang terhasil juga berbeza mengikut kesesuaian.

Secara kasarnya, mod ’Quiet‘ adalah sepenuhnya elektrik dan hanya boleh digunakan untuk jangka masa pendek dan pada kelajuan lebih rendah. Prestasi dinamik menjadi lebih hebat apabila pemandu beralih daripada ’Sport‘ ke ’Sport+‘; manakala ’Track‘ memberi pemandu merasa kemampuan NSX ini sepenuhnya.

Acura NSX – di Asia dan Eropah ia akan dikenali sebagai Honda NSX – akan dipasang sepenuhnya di Amerika Syarikat.

(Klik untuk melihat galeri penuh)