Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Shazni Munir Mohd Ithnin, ditahan berhubung kenyataannya di sebuah laman portal baru-baru ini yang didakwa menghasut.

Shazni ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada jam 2.30 petang pada Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan penahanan terbabit.

"Suspek kini ditahan di Balai Polis Jinjang dan permohonan reman akan dibuat pada 5 April 2016," katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Baru-baru ini, Shazni didakwa mengeluarkan kenyataannya dengan menghasut orang ramai menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi dan rusuhan jalanan.