KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan untuk membuat permohonan pengampunan kedua ke atas hukuman yang dihadapinya bagi kes membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan permohonan itu dibuat disebabkan anak guamnya tidak mendapat keadilan ketika perbicaraan dan semasa proses Lembaga Pengampunan.

Muhammad Shafee memaklumkan, anak guamnya akan mengemukakan permohonan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selaku Yang di-Pertuan Agong terkini.

"Saya mesti ulangi, anak guam saya tidak benar-benar gembira dengan keputusan dia tidak mendapat pengampunan penuh.

"Kami sedang menunggu arahan daripada anak guam saya untuk membuat permohonan terbaharu.

"Sudah tentu saya tidak mahu terlalu cepat kerana Yang di-Pertuan Agong baru dilantik, jadi itu adalah satu kriteria.

"Dan kriteria lain ialah saya mahu menunggu arahan anak guam saya untuk mempertimbangkan amalan lain," katanya di lobi Kompleks Mahkamah pada Rabu.

Muhammad Shafee mendakwa pihaknya mempunyai hujah yang mencukupi, termasuk beberapa hujah baharu untuk menguatkan permohonan tersebut.

Pada 2 Februari lalu, dalam satu kenyataan media, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memaklumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas perdana menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.