KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh memohon untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atau dibebaskan sepenuhnya (DNA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana berjumlah RM27 juta, pada September depan.

Hakim, K Muniandy menetapkan tarikh itu selepas memutuskan perbicaraan kes AMLA yang dihadapi Najib, 71, akan bermula pada 17, 18,19, 23 dan 24 September.

Ia susulan makluman daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang memaklumkan bahawa, status representasi bekas Perdana Menteri untuk menggugurkan kes AMLA ini, masih belum mencapai sebarang keputusan.

Untuk rekod, Najib berdepan dua lagi kes mahkamah iaitu penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 49 saksi.

Sementara satu lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pada 8 Februari 2019, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan AMLA, tetapi kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit aktiviti AMLA dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta, atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Bekas pemimpin UMNO itu telah menghantar representasi kepada AG untuk menggugurkan tiga lagi pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta yang dihadapinya. - Sinar Harian