Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa nyawanya terancam dan memohon agar diletakkan dibawah program perlindungan saksi dalam siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Sentul pada 5 petang semalam, lapor Malay Mail.

Dalam laporannya, Najib menyatakan bahawa beliau dan keluarga mendapat ancaman yang jelas dan telah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan perlindungan saksi.

Difahamkan, ancaman tersebut diterima daripada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dengan dana 1MDB.

BACA: 284 kotak, 72 bagasi mengandungi wang tunai, beg berjenama dirampas dari kondominium mewah

BACA: Najib tidak puas hati, dakwa pakaian harian cucu pun dirampas - Peguam

Najib bagaimanapun tidak menyatakan bentuk ancaman yang diterima dalam laporan polis tersebut.

Dalam laporan tersebut, beliau turut menyatakan barangan yang dirampas di tiga premis di Pavillion Residences baru-baru ini, diberikan oleh rakan-rakannya.

Malah, wang tunai yang ditemui juga adalah derma untuk membantu kempen pilihan raya Barisan Nasional.