KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mendakwa berbilion ringgit dana SRC International Sdn Bhd telah diselewengkan melalui pelaburan meragukan yang dibenarkan oleh bekas pengarah dalam pengurusan terdahulu.

Beliau berkata daripada lebih 31 'kesalahan' yang dikatakan diketahui oleh pengurusan baharu, 27 kesalahan berkaitan dengan kurangnya penilaian wajar dan penyeliaan terhadap hal ehwal SRC oleh bekas 'penjaganya' sebagai punca kerugian berbilion ringgit.

"Perlembagaan SRC mengamanahkan pengarah secara eksklusif berhubung pelaburan yang akan dijalankan. Jika benar bekas pemegang amanah yang diberi kepercayaan telah menutup mata dan membenarkan 'serigala masuk ke dalam reban', pengkhianatan keyakinan itu sepatutnya disiasat," katanya.

Najib, 68, berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 4 April untuk menjawab saman sivil AS$1.18 bilion SRC terhadapnya.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang pemindahan dana yang salah daripada syarikat adalah disebabkan oleh pengurusan terdahulu seperti yang ditemui oleh pengurusan baharu syarikat itu.

Najib berkata adalah tidak masuk akal dakwaan bahawa keputusan pelaburan pengarah SRC mencerminkan hasrat beliau sebagai perdana menteri ketika itu.

Semasa menafikan dakwaan penipuan dan salah laku oleh SRC, Najib berkata saman syarikat itu sendiri nampaknya menunjukkan ketidakmampuannya untuk membayar balik ansuran yang perlu dibayar pada 2015 adalah hasil daripada pelbagai tindakan menyalahi undang-undang lembaga pengarah SRC.

Berdasarkan pelaksanaan tugas Najib dalam jawatan awam, bekas perdana menteri itu menafikan secara mutlak melakukan sebarang salah laku termasuk tort misfeasans atau salah guna jawatan atau kedudukan awam, sama ada sebagai perdana menteri atau menteri kewangan.

Najib menegaskan bahawa beliau tidak menggelapkan, menyalahgunakan atau menukar apa-apa wang daripada SRC atau menipu SRC dalam apa cara sekalipun malah tidak berniat untuk berbuat demikian dan tidak didorong oleh motif tersembunyi atau motif yang tidak wajar atau tidak jujur.

Najib mendakwa mengikut struktur tadbir urus korporat SRC, nasihat daripada penasihat emeritus tertakluk kepada permintaan daripada lembaga pengarah.

Beliau berkata sebarang nasihat sedemikian terhad kepada perkara material dan kepentingan strategik kepada Malaysia dan tidak boleh menjejaskan sebarang perkara dalam kuasa eksklusif lembaga itu.

Najib berkata sepanjang masa berkenaan, beliau bertindak dengan niat yang baik dan melaksanakan tugasnya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk memajukan kepentingan negara.

Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan tindakan undang-undang terhadap Najib dan bekas pengarahnya - Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail - namun kemudian mengeluarkan enam nama daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

SRC sebagai plaintif, dalam writ samannya, mendakwa Najib telah menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh faedah peribadi daripada dana SRC serta menyalahgunakan dana tersebut.

SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang sesuai yang difikirkan sesuai oleh mahkamah

-- BERNAMA