Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini didakwa lagi di Mahkamah Tinggi, di sini, atas tiga pertuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta, lima tahun lepas.

Najib, 66, yang bersut biru, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tambahan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes Najib yang sebelum ini menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.

Bagi tiga pertuduhan tambahan itu, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas tiga pertuduhan pindaan pecah amanah dana SRC International itu dan tiga pertuduhan pindaan pengubahan wang haram selepas kesemua pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram dikemukakan terhadap tertuduh.

"Pihak pendakwaan juga telah mengemukakan pindaan terhadap tiga pertuduhan membabitkan dana SRC mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dihadapi tertuduh dan tiga pertuduhahan pindaan membabitkan pengubahan wang haram," katanya.

Mohamad Hanafiah berkata pihak pendakwaan mengeluarkan perkataan 'RM4 billion' daripada ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah yang dihadapi Najib dan bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, perkataan '2001' ditambah bagi setiap Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan turut mengemukakan permohonan supaya kes itu dibicarakan bersama dengan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi tertuduh sebelum ini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, membantah pertuduhan tambahan ini dibicarakan bersama pertuduhan terdahulu dan memohon masa untuk meneliti sama ada tiga pertuduhan itu boleh dibicarakan bersama ataupun tidak.

Mahkamah menetapkan 7 Feb ini untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan untuk membicarakan kesemua kes berkenaan dan mengguna pakai jumlah jaminan terdahulu iaitu RM1 juta dengan seorang penjamin.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib didakwa dengan tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sehingga hari ini, Najib didakwa untuk kali keenam di mahkamah dengan 42 tuduhan. -- Bernama