MALAYSIA
Najib gagal mulakan prosiding hina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara

Najib (kanan) dakwa Ahmad Terrirudin (kiri) gagal laksana Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan cuba mengelirukan Mahkamah Tinggi. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berhubung isu Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara Ahmad Terrirudin.
- Hakim Alice Loke menyatakan tiada bukti kukuh dan dakwaan bersifat spekulatif; permohonan ditolak dengan kos RM20,000.
- Najib akan memfailkan rayuan; beliau kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan.
Permohonan komital itu difailkan Najib pada 21 Mei lalu menerusi firma guaman Tetuan Shafee & Co, dengan alasan bahawa Ahmad Terrirudin, ketika memegang jawatan Peguam Negara, telah bertindak menghina mahkamah apabila gagal melaksanakan kandungan Titah Adendum.
Menurut firma guaman tersebut, Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 telah diserahkan kepada Najib melalui anaknya, Datuk Mohamad Nizar, dan kesahihan dokumen itu turut disahkan oleh Majlis Kesultanan Pahang menerusi surat bertarikh 4 Januari 2024.
Titah berkenaan didakwa secara langsung ditujukan kepada Ahmad Terrirudin dalam kapasiti beliau sebagai Peguam Negara ketika itu, bagi memastikan pelaksanaannya.
Namun, Najib mendakwa Ahmad Terrirudin telah mengarahkan pegawai-pegawainya untuk mengelirukan Mahkamah Tinggi yang sedang mendengar permohonan semakan kehakiman berkaitan perkara tersebut.
Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, turut berhujah bahawa Terrirudin memiliki pengetahuan peribadi mengenai titah itu kerana dokumen berkenaan telah diserahkan kepadanya semasa beliau masih dalam perkhidmatan, dari September 2023 hingga November 2024.
Menurut Shafee, kegagalan responden mendedahkan kewujudan titah berkenaan pada peringkat penting prosiding undang-undang serta tindakan memberi gambaran bertentangan kepada mahkamah menunjukkan niat untuk mengelirukan.
Namun, hakim menegaskan bahawa pemohon sendiri tidak pasti tentang kewujudan Titah Adendum ketika memfailkan permohonan itu, dan hanya bergantung kepada peristiwa selepasnya untuk menyokong dakwaan terhadap responden.
“Mahkamah mendapati bahawa tiada bukti kukuh menunjukkan responden bertindak secara peribadi seperti didakwa,” katanya sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai spekulatif semata-mata.
Hakim turut menolak andaian bahawa Terrirudin telah mengarahkan penyediaan hujahan palsu semata-mata berdasarkan pendirian Jabatan Peguam Negara dalam membantah permohonan semakan kehakiman tersebut.
Mahkamah turut mengambil kira kelewatan selama setahun oleh Najib dalam memfailkan prosiding komital itu, yang menurut hakim, telah menjejaskan merit keseluruhan permohonan.
“Mahkamah secara konsisten berpendirian bahawa penghinaan mahkamah, sebagai satu perkara serius, perlu diambil tindakan dalam tempoh munasabah. Saya dapati kelewatan itu memudaratkan kes pemohon,” ujar Loke.
Susulan keputusan itu, Shafee memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan ke mahkamah lebih tinggi.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Januari lalu mengurangkan tempoh penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami