LONDON: United Kingdom (UK) dan Jepun dijangka memeterai perjanjian pelaburan serta kerjasama teknologi bernilai lebih £18 bilion (AS$24 bilion), yang dijangka mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan, sempena pertemuan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Sanae Takaichi, pada Ahad.
Menurut kerajaan Britain, perjanjian itu merangkumi saluran pelaburan Jepun selama lima tahun bernilai lebih 9 bilion pound dalam sektor infrastruktur dan perkhidmatan kewangan, selain usaha membuka sehingga 9 bilion pound lagi bagi projek tenaga angin luar pesisir UK.
Komponen tenaga angin luar pesisir itu dijangka menyumbang kapasiti sekitar 5.9 gigawatt menerusi projek di Scotland dan kawasan Laut Celtic.
Kedua-dua negara turut dijangka melancarkan satu perkongsian teknologi baharu meliputi bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pengkomputeran kuantum.
Secara berasingan, beberapa syarikat termasuk Hitachi Energy, Rolls-Royce dan Eisai dijangka mengumumkan pelaburan serta kerjasama melibatkan peluasan grid tenaga, teknologi nuklear dan sains hayat.
Selain itu, pelbagai perjanjian perniagaan dan kerajaan lain turut dijangka dimeterai sepanjang lawatan Takaichi, yang berlangsung menjelang Sidang Kemuncak G7 pada 15 hingga 17 Jun di Perancis. - Agensi