Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan penghargaan kepada pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Malaysia yang telah memainkan peranan dalam proses siasatan nahas pesawat MH17.

Dalam catatan terbaharunya di laman Twitter, Najib mengucapkan terima kasih kepasda pasukan berkenaan di atas usaha membantu proses siasatan dan mengenal pasti mangsa nahas MH17 di Ukraine.




Memetik laporan Bernama, catatan Najib itu dibuat bersama-sama pautan berita Bernama mengenai sumbangan pasukan DVI Malaysia dalam proses penandaan dan pemindahan mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Kharkiv, Ukraine yang menerima pujian pasukan DVI antarabangsa lain.

Sebelas anggota pasukan DVI Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan antara dua kumpulan pasukan penyiasat negara yang tiba di Kuala Lumpur semalam selepas 22 hari berada di Ukraine.
Penerbangan MH17, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh, namun tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.