Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sekali lagi menegaskan komitmen Malaysia untuk membawa pulang baki tiga lagi mayat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17.

"Kami akan meneruskan usaha membawa pulang baki tiga lagi mayat rakyat Malaysia dan mengumpul bukti forensik dari lokasi MH17 (terhempas)," katanya dalam akaun Twitter.

Sebelum itu, Najib yang sedang melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat, berkata di New York, bahawa Kiev tidak dapat memberi jaminan laluan selamat bagi pasukan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine Julai lepas kerana ia tidak selamat memandangkan kejadian tembakan dan letupan masih berterusan walaupun perjanjian gencatan senjata dilaksanakan.


Katanya perkara itu disampaikan kepadanya oleh Perdana Menteri Ukraine Arseniy Yatsenyuk apabila mereka bertemu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Najib akan berada di Amerika Syarikat dari 20 hingga 28 Sept bagi menghadiri Perhimpunan Agung PBB dan juga menghadiri beberapa majlis.

Penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.