Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kekesalan selain menyifatkan insiden letupan bom yang berlaku di Pulau Pinang pada Selasa tidak seharusnya berlaku.

Perdana Menteri menegaskan,undang-undang harus dijaga dan diikut semua parti sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pembuangan undi.

''Semua parti telah dinasihat agar sentiasa menjaga tata tertib dan mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen. Sepatutnya semua bersaing secara sihat dan menunjukkan amalan demokrasi,'' katanya.

Najib berkata demikian semasa sidang media selepas majlis bersama rakyat di Keningau.

Kira-kira 10 ribu penduduk setempat menghadiri majlis itu.

Turut hadir,Ketua Menteri,Datuk Seri Musa Aman dan calon Pilihan Raya Umum (PRU) di kawasan berkenaan.

Semalam, ceramah anjuran Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal dicemari insiden letupan yang berlaku di belakang pentas bilik gerakan parti itu semasa Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan menyampaikan ceramah.

Kejadian itu menyebabkan seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan.

Dalam pada itu,Najib menjelaskan, serangan isu hudud kepada BN disifatkan gimik yang dimainkan pakatan pembangkang menjelang PRU.

Tegasnya, pakatan pembangkang harus sedar DAP sendiri selama ini tidak pernah bersetuju dengan Pas mengenai isu hudud.

''Mereka sendiri tidak pernah sepakat dan DAP membantah hudud yang mahu dilaksana Pas sedangkan mereka dari pakatan yang sama.

''Ini bukti mereka mementing politik masing-masing dan selama ini bercelaru. Di dalam buku manifesto juga tidak disebut mengenai isu ini.''

Ujarnya,DAP sendiri perlu menjelaskan ideologi dan mengakui pendirian mereka terhadap isu hudud tidak sama dengan Pas.

Terdahulu, beliau hadir pada majlis pemimpin bersama rakyat di daerah Tenom dan Kemabong.