Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menaruh harapan untuk meneroka peluang-peluang baharu semasa lawatan rasminya buat kali ketiga ke India bermula esok.

"Ini ialah lawatan saya untuk kali ketiga ke India sejak menyandang jawatan (pada 2009) dan saya akan melawat Chennai, New Delhi dan Jaipur. Semasa lawatan ini, saya akan menemui antara lain peneraju industri dan menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) ketujuh," kata beliau.

"Saya juga berharap untuk bertukar-tukar idea dan mengadakan perbincangan yang berhasil dengan Perdana Menteri Narendra Modi bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala. Insya-Allah," kata Najib menerusi catatan terbaharu beliau dalam blog najibrazak.com malam tadi.


Perdana Menteri berkata tahun ini merupakan ulang tahun ke-60 terjalinnya huhungan diplomatik MalaysKa-India dan oleh itu ia mencerminkan betapa signifikannya hubungan persahabatan antara kedua-dua negara yang menjangkau di luar suasana formal.

"Yang unik, India menyumbang kepada demografi Malaysia yang kita lihat hari ini. Masyarakat India membentuk kumpulan etnik ketiga terbesar di Malaysia dan kebanyakan masyarakat India di Malaysia masih mempunyai hubungan keluarga di India. Kita terikat antara satu sama lain dalam hubungan," katanya.

Najib berkata sejak lawatan terakhirnya ke India pada 2010, hubungan Malaysia-India telah berkembang dan bertambah makmur.

"Kita telah menubuhkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA) Malaysia-India dan New Delhi ialah antara rakan dagangan terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar.

Kita juga telah menjalin perkongsian daripada segi kerjasama pertahanan, memerangi keganasan, pelancongan dan hubungan budaya, IT dan perkhidmatan serta projek infrastruktur," katanya.

Lawatan sulung Najib ke India ialah pada Januari 2010 dan sekali lagi melakukan lawatan ke negara itu pada Disember 2012 untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kenang-kenangan ASEAN India.

-- BERNAMA