Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menjawab segala spekulasi yang dibangkitkan pelbagai pihak di dalam dan luar negara untuk menjernihkan keadaan.

Itu mesej ahli Parliamen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah semasa bertemu Presiden UMNO itu dua hari lalu.

“Saya memberitahunya (Najib), kita kena buat sesuatu dan dia mesti menjawab soalan-soalan ini supaya dapat kita matikan segala spekulasi, tohmahan yang mungkin menjejaskan kehidupan rakyat kerana dia berada di puncak pemerintahan negara,” kata Tengku Razaleigh atau turut dikenali sebagai Ku Li ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.

Ku Li berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Star di sini.


“Beliau (Najib) berkata telah membuat cadangan tetapi dia tidak memberitahu saya semua sekali. Parlimen pun akan membincangkan laporan Ketua Audit Negara yang telah mengaudit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kita tidak tahu sejauh mana laporan itu kerana ia masih dirahsiakan dan jawatankuasa akaun Parlimen masih menyelidiki laporan yang sampai kepada mereka," tambahnya lagi.

Menurut Ku Li, beliau percaya keadaan akan menjadi lebih reda jika Najib dapat menjawab segala spekulasi yang dibangkitkan kebelakangan ini.