Suspek kes melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendedahkan bukti audio yang beliau disifatkan dibuat secara haram dan tidak sah.

Bekas perdana menteri itu juga mempersoalkan kenapa pendedahan itu dibuat SPRM dan bukan pihak polis.

"Kenapa rakaman yang tidak diketahui sumber dan belum disahkan kandungannya, rakaman yang melibatkan pemimpin tertinggi serta kerabat raja negara asing dan rakaman untuk kes yang bukan di bawah bidang kuasa SPRM tetapi PDRM?

"Dan kenapa SPRM menghina mahkamah semasa kes 1MDB sedang dibicarakan? Apakah SPRM kini sudah menjadi mahkamah?" ujar beliau menerusi akaun Facebooknya.

Persoalan itu dibangkitkan suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu beberapa jam selepas SPRM mendedahkan kandungan audio berkenaan kepada media.

Najib merujuk kepada sembilan rakaman audio tentang dakwaan konspirasi melibat bekas Ketua Kerajaan itu.

Rakaman itu antaranya melibatkan perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya yang menyifatkan rakaman itu sebagai sebagai satu kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara bagaimanapun mengakui pendedahan itu dibuat demi kepentingan awam.

Antara isi kandungan audio berkenaan memberi bayangan suara Rosmah yang menyatakan Najib dikelilingi oleh 'orang bodoh'.

Terdahulu, ketika disoal media ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memaklumkan akan mengkaji tindakan undang-undang yang boleh dilakukan susulan pendedahan ini.