KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan dijangkiti COVID 19 pada Rabu.

Dalam satu kenyataan, pegawai khasnya, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan Najib Razak dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur pada Selasa selepas beliau mengadu demam.

Setelah pemeriksaan dilakukan doktor pakar, beliau didapati positif COVID-19.

Dalam pada itu, Najib dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani kuarantin dan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mukhlis mewakili keluarga Najib Razak berterima kasih kepada pihak penjara khasnya Penjara Kajang dan Hospital Kuala Lumpur di atas tindakan pantas memberi rawatan.

Pada 23 Ogos tahun lalu, buat pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, Najib menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan selama 12 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.