Najib tiba di Mahkamah Kuala Lumpur untuk hadapi pertuduhan

Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 8, 2018 01:01 MYT
Datuk Seri Najib Razak tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pagi ini. REUTERS
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 8.50 pagi ini untuk menghadapi pertuduhan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.
Beliau hadir berpakaian sut kelabu di kompleks mahkamah.
Sejurus tiba, Najib terus dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen 9 untuk sebutan kes, di bawah kawalan ketat pihak polis.
Pendakwaan diketuai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria, sementara pembelaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Beliau dijangka didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFA) 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Ia membabitkan kesalahan antaranya, secara langsung atau tidak langsung, dalam transaksi hasil aktiviti haram, memperoleh, menerima, memiliki, mengalihkan atau membawa masuk ke dalam negara hasil aktiviti haram.
Di bawah Seksyen 4 AMLATFA 2001, jika disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM5 juta atau dipenjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
BACA: Najib selesai bayar baki jaminan RM500,000
BACA: Ini peluang terbaik untuk saya bersihkan nama - Najib
Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas keempat-empat pertuduhan berkenaan.
#aktiviti haram #AMLATFA 2001 #bersalah #Jalan Duta #Kuala Lumpur #mahkamah #Najib Razak #pecah amanah #pengubahan wang haram #perbicaraan #Pertuduhan #salah guna kuasa #sebutan kes #SRC International #tidak bersalah #Tommy Thomas