KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membenarkan dana AS$3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Switzerland, dibawa pulang ke Malaysia pada 2013.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin, 37, berkata perkara itu diberitahu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman.

"Mohd Hazem selaku Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB Global Investment Ltd (1MDB-GIL) tidak mempunyai akses dan kawalan ke atas dana yang diterbitkan daripada bon ini.

Hazem telah beberapa kali membuat permintaan kepada Najib untuk membawa pulang dana ini bagi membiayai keperluan 1MDB, namun Low Taek Jho atau Jho Low menyampaikan arahan bahawa dana ini tidak boleh dibawa pulang kerana ia untuk kegunaan dana pilihan raya UMNO," katanya.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 95 muka surat, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Saksi menambah, Hazem pernah memaklumkan perkara ini (dana) kepada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias dan Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin untuk memanjangkan kepada Najib.

"Walau bagaimanapun, Najib tidak membenarkan dana ini dibawa pulang, dan tiada sebab yang jelas diberikan," katanya.

Saksi itu juga berkata bahawa pada 19 Mac 2013, wang terbitan nota AS$3 billion itu telah dimuktamadkan dan dipindahkan ke dalam akaun 1MDB-GIL di BSI SA, Lugano Switzerland dengan jumlah AS$2,721,000.00.

Jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun yang dinyatakan adalah kurang daripada jumlah sebenar setelah ditolak caj-caj perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak Goldman Sachs. Akaun itu telah dibuka di BSI Lugano pada 11 Mac 2013.

Beliau berkata, pada 13 Mac 2013, Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Najib telah bersetuju supaya kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengeluarkan surat sokongan terhadap terbitan dana AS$3 billion oleh 1MDB.

"Pada keesokan hari (14 Mac 2013), Najib selaku Menteri Kewangan telah menandatangani surat sokongan kepada 1MDB untuk pinjaman berjumlah AS$3 billion dengan Goldman Sachs bagi mengadakan perjanjian usahasama dengan pihak Aabar PJS," katanya.

Terdahulu, keterangan saksi berhubung dana AS$3 bilion di Switzerland dibantah peguam Tania Schivetti yang mewakili Najib dengan alasan ia adalah hanya "dengar cakap".

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengambil kira bantahan yang dikemukakan pihak pembelaan.Perbicaraan sedang berlangsung.

--BERNAMA



TAG: mahkamah, Najib, 1MDB, dana AS$3 bilion , Switzerland