KUALA LUMPUR: "Husni, saya tak mahu kamu terlibat dan campur tangan dalam isu 1MDB."

Itu kata-kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika bekas Menteri Kewangan Kedua tersebut menasihati beliau mengenai risiko perancangan pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam syarikat Petrosaudi International Ltd.

Ahmad Husni, 70, berkata beliau menyuarakan kerisauan itu pada hujung 2009 sebaik sahaja mengetahui 1MDB membuat pelaburan usaha sama dengan syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak tersebut daripada pegawai Kementerian Kewangan.

"Saya pergi berjumpa dengan Datuk Seri Najib di pejabat beliau dan menyatakan kepadanya 1MDB tidak sepatutnya membuat pelaburan usaha sama dengan Petrosaudi kerana syarikat ini masih dalam proses mencari gali minyak... Jadi sekiranya minyak tidak ditemukan, pelaburan tersebut akan hangus.

"Saya juga beritahu PM yang 1MDB tiada pengalaman dalam bidang tersebut dan ia sepatutnya diserahkan kepada Petronas tetapi memandangkan beliau memberikan respons sebegitu, saya tidak menjawab lagi," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-20 itu turut mengesahkan bahawa pertemuan tersebut hanya berlaku antara mereka berdua dan sejak itu, beliau langsung tidak dilibatkan dalam sebarang keputusan atau dimaklumkan mengenai pelaburan 1MDB.

Terdahulu, Ahmad Husni berkata pada pertengahan 2009, beliau turut menasihati Najib mengenai risiko penubuhan 1MDB apabila mengetahui kerajaan sudah memutuskan untuk mengambil alih syarikat itu daripada Kerajaan Terengganu melalui Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

"Saya berjumpa dengan Datuk Seri Najib di pejabatnya untuk memberitahu 1MDB tidak sepatutnya ditubuhkan tanpa kajian kebolehlaksanaan. Tujuan kajian kebolehlaksanaan adalah untuk membuat penilaian secara praktikal bagi cadangan sesuatu projek serta risiko dari segi perniagaan dan kewangan.

"Kajian ini sangat penting bagi memastikan pelaburan 1MDB akan mendatangkan keuntungan kepada kerajaan. Bagaimanapun, apabila saya memberitahu PM mengenai risiko berkenaan, beliau hanya menjawab 'saya akan teruskan'. Jadi saya tidak jawab apa-apa lagi," katanya.

Saksi itu juga berkata pada awal tahun 2015, Najib telah memanggilnya untuk menyelesaikan masalah 1MDB yang dikatakan sarat dengan hutang yang tinggi, bagaimanapun beliau tidak bersetuju kerana tidak pernah terlibat dengan urusan syarikat tersebut.

"Apabila terus didesak oleh Datuk Seri Najib untuk menjalankan tugas itu, saya telah bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar supaya beliau mengambil alih tetapi Wahid juga tidak bersetuju," katanya.

Menurut Ahmad Husni, beliau bersama Setiausaha Sulit Kanannya Imran Yasin Mohd Yusof telah merangka 'Pelan Rasionalisasi 1MDB' dan antara tugas utamanya ialah mendapatkan maklumat berkaitan kedudukan kewangan, aset, senarai tanggungan hutang semasa dan pelaburan syarikat itu.

"Peranan saya dan Imran Yasin adalah setakat merangka pelan sahaja tetapi pelaksanaan adalah di bawah tanggungjawab pengurusan 1MDB dan saya tidak terlibat langsung.

"Berdasarkan kandungan penyata kewangan yang saya peroleh, saya dapati hutang 1MDB pada 20 Mei 2015 adalah sebanyak RM48.571 bilion manakala aset syarikat itu berjumlah RM49.895 bilion," katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA