KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Najib tidak pernah membuat sebarang aduan kepada pihak berkuasa walaupun dana 1MDB dilencongkan sejak 2009.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Ariffin, 37, berkata hasil siasatannya, pihak pengurusan 1MDB juga didapati tidak membuat sebarang aduan mengenai perkara itu kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain tiada sebarang tindakan diambil terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

"Datuk Seri Najib mempunyai akauntabiliti dalam setiap tindakan beliau selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

"Beliau juga tidak pernah mengarahkan pihak pengurusan 1MDB untuk menjarakkan diri daripada Jho Low walaupun lelaki itu tidak dilantik secara sah dalam mana-mana jawatan di dalam Kerajaan Malaysia mahu pun 1MDB," katanya dan menambah Jho Low memainkan peranan aktif dalam pengoperasian 1MDB ketika itu.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika membacakan bahagian 'Kesimpulan' dalam pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Nur Aida berkata hubungan Najib dan Jho Low bukan sekadar atas urusan rasmi mengenai 1MDB sahaja malah Jho Low turut menyertai percutian bersama keluarga bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

"Ini termasuk percutian di atas kapar layar RM Elegance dan Topaz di perairan selatan Perancis pada 2009 dan 2013 dan percutian di atas kapal layar Golden Odyssey di perairan Greece pada 2010.

"Kesemua percutian ini diuruskan Jho Low dan sekutunya Eric Tan Kim Loong yang turut disertai antaranya kerabat diraja Arab Saudi dan pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid," katanya.

Sementara itu, Nur Aida berkata Najib juga tidak pernah membuat pengisytiharan kepada Jemaah Menteri mengenai kemasukan RM3.6 bilion ke dalam dua akaun peribadi miliknya ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

"Hasil siasatan saya menunjukkan wang yang diterima Datuk Seri Najib di dalam kedua-dua akaun AmPrivate Banking miliknya datang daripada dana 1MDB yang dikeluarkan untuk membuat pelaburan.

"Dalam tempoh bermula 2011 hingga 2014, terdapat 526 transaksi perbelanjaan melalui pengeluaran cek yang ditandatangani dan dikawal oleh Najib sendiri selain pembayaran penggunaan kad kredit AmBank Mastercard dan Visa Platinum miliknya," katanya.

Menurut Nur Aida, Najib sebagai pemilik akaun mempunyai akses dan kawalan ke atas akaun beliau sendiri dan dalam tempoh kedua-dua akaun itu aktif namun beliau tidak pernah membuat pengesahan, pertanyaan dan aduan sama ada secara bertulis atau lisan kepada bank mengenai sumber kemasukan duit ke akaunnya.

"Pada Julai 2015, Datuk Seri Najib juga telah meminta bekas Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz untuk mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kesalahan melibatkan wang-wang yang masuk ke akaunnya, namun Tan Sri Zeti enggan mengikuti permintaannya," katanya.

Nur Aida berkata Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Husni Hanadzlah juga pernah diarahkan oleh Najib agar tidak terlibat dan campur tangan dalam sebarang urusan dan keputusan pelaburan 1MDB.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 29 Jan ini.

-- BERNAMA