KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah membuat pengeluaran tunai daripada akaun bank peribadinya meskipun berbilion ringgit telah didepositkan ke akaunnya.

Pengurus AmBank (M) Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 43, yang mengesahkannya berdasarkan penyata bank berkata, bekas Perdana Menteri itu juga tidak mengeluarkan sebarang cek atas namanya.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib melibatkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, Uma Devi memberitahu mahkamah bahawa Najib telah mengeluarkan cek berjumlah RM2,494,000 kepada pelbagai pihak iaitu Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM494,900), Yayasan Rahah (RM1 juta), ORB Solutions Sdn Bhd (RM450,000), Mashi Publication Sdn Bhd (RM30,000) dan Transformasi Kreatif (RM520,000).

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - BERNAMA