KUALA LUMPUR: Kenaikan harga arang batu di pasaran global terus memberi tekanan kepada kos penjanaan elektrik negara, susulan lonjakan harga bahan api itu sepanjang September.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peningkatan harga tersebut memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik memandangkan arang batu kekal antara sumber utama dalam campuran bahan api negara.
“Untuk harga arang batu, ia menunjukkan peningkatan yang lebih sederhana pada Ogos daripada AS$129.63 satu tan pada Julai kepada AS$130.67 satu tan.
“Namun pada 10 September, harganya mencecah AS$148 satu tan. Kenaikan ini secara langsung memberi kesan kepada kos untuk kita menjana elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Krisis Bekalan Global pada Jumaat.
Akmal berkata secara keseluruhannya, ketiga-tiga sumber bahan api utama iaitu minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan arang batu mencatatkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos.
Katanya, keadaan itu menunjukkan pasaran tenaga global masih terdedah kepada ketidaktentuan susulan gangguan geopolitik dan cabaran laluan bekalan yang boleh mencetuskan kenaikan harga dalam tempoh singkat.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus memastikan jaminan bekalan bahan api negara sehingga Disember 2026 menerusi pendekatan mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran domestik dan memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang.
Menurutnya, strategi tersebut termasuk mendapatkan bekalan minyak mentah dan produk petroleum daripada pelbagai rantau termasuk benua Amerika serta meneroka sumber alternatif dari Afrika bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu negara atau laluan bekalan tertentu.
Katanya, langkah itu penting bagi memperkukuh keselamatan tenaga negara ketika aliran perdagangan tenaga global terus berdepan ketidaktentuan.