Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menandatangani perjanjian yang dibuat bersama Jusuf Kalla.

"Saya sahaja yang menandatanganinya. Najib tidak. Jika saya bersetuju dengan piawaian etika, pilihan raya yang adil dan perubahan kuasa secara damai, pasti saya menandatanganinya.

“Antara perjanjian yang telah dimeterai ialah kedua-dua pihak bersetuju perjalanan dan etika kempen dipatuhi. Tidak ada serangan peribadi dan tidak ada kecaman di media.

“Seterusnya ialah mengadakan pilihan raya yang bersih dan bebas. Kedua-dua pihak harus menerima keputusan pilihan raya dengan baik.

“Tidak ada unsur dendam dan permusuhan. Harus ada semangat pendamaian supaya dapat menenteramkan ketegangan,” ujar Anwar dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Anwar memberitahu bahawa Najib sendiri yang telah melanggar perjanjian berkenaan.

“Pihak yang melanggar kontrak daripada awal ialah pihak yang menjalankan kempen tidak mengikut etika, menipu dalam pilihan raya, merompak daripada rakyat keputusan pilihan raya.

“Perjanjian berkenaan turut tidak menyebut mengenai perkongsian kuasa. Jika Pak Jusuf membuat pendedahan berkenaan maka saya akan membuat kenyataan balas,” tambah Anwar yang memberitahu perjanjian berkenaan dimeterai sebelum hari penamaan calon.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut memberitahu bahawa beliau tidak menemui Najib malah tidak mengadakan perbualan telefon bersama Perdana Menteri.

Pada minggu lalu, Wall Street Journal melaporkan Anwar telah memungkiri satu perjanjian rahsia mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dikatakan telah dibuat di antara beliau dengan Perdana Menteri.

Perjanjian bertulis itu didakwa antara lain merangkumi syarat dimana kedua-dua belah pihak perlu menahan diri daripada membuat serangan peribadi dan untuk menerima serta menghormati keputusan PRU13.

Perkara itu didedahkan oleh bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, yang mendakwa dirinya menjadi orang tengah dalam perjanjian Anwar dengan Najib itu yang dibuat pada bulan April.