Aspek keselamatan, pembangunan dan kebajikan akan menjadi keutamaan kerajaan persekutuan dan negeri dalam membangunkan Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata teras pertama kerajaan Barisan Nasional (BN) ialah memastikan keselamatan, kedaulatan, keamanan di Sabah terjamin sepenuhnya selepas peristiwa Lahad Datu awal tahun ini.

"Jangan sekali kita lupa, kita mesti ambil langkah proaktif, anggota tentera dan polis mencukupi, menambah risikan, menentukan rangkaian di kawasan penting yang dapat dibangunkan dengan kelengkapan teknologi sesuai juga membina kem tentera baharu, balai polis untuk pastikan rakyat di kawasan terdedah risiko rasa selamat...bila tidur malam akan tidur nyenyak," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa dan makan malam bersama perdana menteri di sini, malam ini.
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin serta pemimpin-pemimpin negeri.

Najib berkata adalah menjadi tanggungjawab kerajaan BN membina kem tentera di Felda Sahabat sebagai pangkalan penting dalam Kawasan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), selain merangka model menyusun semula perkampungan laut di pantai timur Sabah tanpa menyusahkan rakyat.

Menerusi teras kedua, kerajaan akan memperhebat soal pembangunan yang memerlukan tambahan pembangunan asas di kawasan luar bandar dan bandar, yang menyaksikan jalan menghubungi antara kedua kawasan itu terlalu sempit dan sesak dengan lalu lintas, dan ia perlu diberi perhatian, katanya.

Najib berkara teras ketiga pula merangkumi soal kebajikan rakyat, bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga soal melibatkan kepentingan rakyat.

"Ini komitmen kita, dan ia bersandarkan kepada Gagasan 1Malaysia dengan pengukuhan hubungan antara kumpulan etnik, yang amat penting untuk kita terus pelihara dan perkukuhkan. BN ialah kerajaan untuk kepentingan semua kumpulan etnik di Sabah," tegasnya.

Perdana menteri berkata kerajaan BN akan terus memperbanyakkan produk 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan pelbagai lagi untuk memastikan signifikasi gagasan itu bukan retorik dan slogan semata-mata, tetapi dapat dirasai nikmatnya oleh semua rakyat di negara ini.

Sambil melahirkan penghargaan kepada rakyat Sabah, Pengerusi BN itu juga berkata pencapaian BN di Sabah adalah cemerlang dan merupakan antara negeri yang memberi sumbangan besar kepada pembentukan kerajaan BN di peringkat persekutuan.

"Dari 25 kerusi Parlimen, Sabah menyumbang 22 (kerusi), ini bukan bilangan yang kecil. Negeri yang terbesar menyumbang, memang tatap BN," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut memotong pulut kuning bersama Rosmah serta anggota pemimpin parti komponen sempena ulang tahun kelahiran beliau ke-60 yang jatuh pada Selasa lepas.

Terdahulu, Najib turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 78 penerima daripada golongan asnaf, fakir miskin dan anak yatim dari beberapa rumah kebajikan dan anak yatim di sekitar Kota Kinabalu, Papar dan Tuaran.