Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan mewujudkan dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam.

Beliau berkata komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan bertujuan untuk menggembleng sumber agensi-agensi keselamatan bagi tujuan mempertingkatkan keberkesanan operasi.

Komponen itu akan diterajui seorang Komander ESSCOM yang mengetuai tiga bahagian khusus iaitu bahagian perisikan, bahagian keselamatan dan pertahanan serta bahagian operasi,

Pada sidang media mengumumkan penstrukturan semula ESSCOM di Bangunan Perdana Putra di sini, Najib berkata Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCOM, DCP Datuk Abd Rashid Harun dilantik sebagai Komander ESSCOM untuk komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan.

Beliau akan mengetuai bahagian perisikan, keselamatan dan pertahanan serta operasi di ESSZONE berkuat kuasa 15 Julai.

"Penstrukuran semula ESSCOM dan langkah lain yang telah dan sedang dilaksanakan diharap akan meningkatkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah.

"Kerajaan juga berharap seluruh rakyat, khususnya penduduk di kawasan timur Sabah supaya sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya untuk mengukuhkan keselamatan di sana. Dengan sokongan dan kerjasama rakyat Sabah, pasukan keselamatan dan agensi-agensi lain terlibat dapat menjaga serta mengukuhkan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah," katanya.

Najib berkata Komander ESSCOM akan dibantu seorang Timbalan Komander bagi membantu pentabdiran operasi.

Bagi komponen penguatkuasaan dan tindakan awam, perdana menteri berkata ia akan melihat kepada pematuhan ke atas undang-undang negara yang berkaitan dengan peraturan imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, kawalan barang-barang kawalan dan perkara yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat.

Komponen itu akan diketuai seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk mentadbir tiga bahagian - Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Penguatkuasaan dan Tindakan Awam serta Bahagian Khidmat Keurusetiaan.

Najib berkata langkah penstrukturan semula itu akan memperkemas pengurusan di kawasan pantai timur Sabah dan memantapkan ESSCOM.

Langkah penstrukturan semula itu, katanya, bertujuan memantapkan rantaian arahan organisasi ESSCOM.

Ia juga bertujuan meningkatkan dan memastikan penglibatan sepenuhnya setiap peringkat rakyat bersama agensi-agensi keselamatan dalam memastikan kawasan pantai timur Sabah bebas daripada pencerobohan dan jenayah, kata Perdana Menteri.

Beliau juga berkata ia dapat mewujudkan hala tuju bersama dan tindakan bersepadu dalam kalangan anggota keselamatan untuk memastikan Sabah Timur dalam keadaan selamat dan harmoni.

Selain penstrukuran semula ESSCOM, Najib berkata tiga langkah turut diambil untuk meningkatkan keselamatan di pantai timur Sabah termasuk penguatkuasaan laluan ditetapkan untuk bot-bot memasuki perairan Sabah.

Beliau berkata laluan ditetapkan itu akan memastikan semua bot yang memasuki perairan negeri Sabah perlu berada di dalam kawasan atau laluan yang dibenarkan sahaja.

"Langkah ini akan membolehkan kawalan keselamatan dan pengawasan terhadap bot-bot di perairan pantai timur Sabah dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bot-bot yang tidak mematuhi peraturan akan ditahan serta dikenakan tindakan oleh agensi penguatkuasaan mengikut peraturan dan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Najib berkata Kapal Bunga Mas 5 pula digunakan sebagai pangkalan di laut (sea basing) atau pangkalan hadapan operasi (FOB) dan ia merupakan langkah interim yang dilaksanakan segera oleh kerajaan sehingga menunggu struktur tetap pangkalan laut.

Struktur tetap pangkalan laut memerlukan kira-kira enam bulan untuk siap sepenuhnya, katanya.
Platform pangkalan laut itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan radar bagi liputan lebih luas untuk mengesan kehadiran bot di perairan antarabangsa, katanya.

Sebagai langkah untuk meningkatkan lagi keselamatan di pantai timur Sabah, 30 unit Rigid Hull Fender Bot (RHFB) turut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada 29 Mei lalu.

Kerajaan telah mewujudkan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) pada 24 Mac tahun lepas berikutan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Feb yang bertujuan untuk memastikan pencerobohan tidak berulang dan juga menjamin kedaulatan undang-undang serta mengekalkan ketenteraman awam.

Esscom merupakan 'ejen penguatkuasaan keselamatan' bagi Esszone yang merangkumi 10 daerah di timur Sabah.

Daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Walaupun Esscom berjaya menghalang berlakunya pencerobohan baharu, namun jenayah penculikan masih menjadi ancamaan keselamatan.

Kejadian penculikan antara yang dilaporkan berlaku di kawasan pantai timur Sabah pada tahun ini ialah pada 15 Jun melibatkan pengusaha pusat ternakan ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun, 32, dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an yang diculik dua lelaki bersenjata di pusat itu.

Pada 6 Mei lepas pula lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China dan pekerja resort warga Filipina diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Semporna.

Ditanya mengenai faktor penculikan yang berlaku di pantai timur Sabah, Najib berkata antaranya ialah ia merupakan kawasan yang luas dan masyarakat 'keluar masuk' kawasan itu tidak melihat persempadanan sebagai satu halangan.

"Ini kerana wujudnya masyarakat kompleks menyebabkan tindakan membanteras penculikan bergantung kepada maklumat.

"Kita mahu kerjasama setempat misalnya mana-mana pemilik resort jangan menempatkan bukan warganegara sebagai pekerja agar kita dapat membantu pasukan keselamatan," katanya.

Najib turut menegaskan bahawa kawalan tertentu seperti CCTV dan penempatan anggota pasukan keselamatan di tempat yang sesuai, penting untuk meningkatkan keselamatan di perairan Sabah.

Apabila ditanya mengenai jawatan Komander Esscom yang akan digilirkan, Najib berkata : "Tengok pada keadaan".

"Buat masa sekarang kita lantik PDRM untuk mengetuai," katanya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.