Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menafikan najis burung merpati adalah penyebab sampingan kepada gangguan kesihatan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.

Kata Dr. Dzulkefly, sesiapapun boleh mengeluarkan pendapat namun pihak Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian terhadap keputusan klinikal yang diperoleh.

“Pernahkah kami sebut tentang najis burung merpati ini? Tak pernah, jadi kembali kepada apa yang kita sebut tanpa menafikan hak sesiapa untuk beri pandangan.

“Pengarah Jabatan Kesihatan Johor sentiasa mengemas kini dan memaklumkan kepada kami, khususnya Datuk Dr. Chong selaku Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Kita kembali kepada dapatan sebelum ini, iaitu keputusan klinikal dan simptom pesakit.

"Kami akan terus pantau situasi ini, tapi sehingga hari ini fenomena tidak seperti insiden Sungai Kim-Kim, di mana ada yang dimasukkan ICU," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Kurangkan Gula Hidup Sihat di Pasaraya Giant Subang Jaya hari ini.

Dr. Dzulkefly mengulas kenyataan Exco Kesihatan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar bahawa hasil tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati beberapa kelas di tingkat atas sekolah itu terpaksa ditutup akibat masalah najis burung berkenaan.