Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terjatuh dari Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang pada 11.30 pagi Isnin, ketika cuba mengelak dua ambulan yang melalui jalan yang sama.

Pemandu treler Mohd Fariz Ridzuan Mahmood, 41 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun treler dipandunya itu jatuh dari ketinggian kira-kira 13 meter.

Menurutnya, ketika kejadian, kenderaan lain bergerak perlahan dan tiba-tiba terdapat dua ambulan hendak melalui laluan yang sama.

Dia kemudian cuba ketepi bahu jalan untuk memberi laluan kepada ambulan tersebut namun gagal dikawal lalu jatuh ke bawah jambatan itu.

"Kereta lain brek secara mengejut sebab nak beri laluan pada ambulan. Saya pun brek juga tetapi tahu lah, lori berat," kata Mohd Fariz.

Menurut seorang saksi, Mohd Rizal Mohammad Rosli berkata, dia yang sedang makan di kedai seberang jalan mendengar dentuman kuat dan terkejut apabila melihat keadaan treler yang jatuh terjunam dari jambatan yang tinggi.

"Ketika di kedai, saya terdengar satu rempuhan kuat di pagar jambatan Sungai Pahang ni sebelum nampak treler jatuh. Jika tengok pada fizikal treler ni agak teruk tetapi pemandu selamat," katanya.

Mohd Rizal berkata dia bergegas ke tempat kejadian dan terus menghubungi pihak polis dan bomba.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Zundin Mahmood berkata, pemandu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk pemeriksaan lanjut.

"Treler ni jatuh di pinggir jambatan dan bukan di atas jalan raya, jadi buat masa ini, pemandu pun selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa yang belaku.

"Kita akan siasat dan buat pemeriksaan dan ujian pemandu treler berkenaan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu akan diambil ujian air kencing dan darah.