KUALA LUMPUR: Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah anak Barieng, nama yang tersimpan erat dalam lipatan sejarah Malaysia terutamanya membabitkan Sarawak.

Jasanya cukup besar, bukan sahaja kepada anak-anak Bumi Kenyalang tetapi juga negara apabila beliau antara yang menggerakkan usaha pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Meninggal dunia pada usia 81 tahun pada 8 Julai 1981, legasi kepimpinan beliau kini disambung cucunya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang kini merupakan menteri dalam barisan Kabinet kerajaan.

Meskipun datuknya merupakan antara individu penting dalam sejarah negara namun Nanta Linggi tidak selalu bercerita perihal datuknya yang beliau panggil Akik itu.

Namun, sempena Hari Kebangsaan pada tahun ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu meluangkan masa hampir 30 minit, berkongsi kenangannya bersama Akik.

Nasihat datuknya masih dipegang sehingga kini walaupun dia tidak memahaminya pada waktu nasihat itu disampaikan namun ketika umur semakin bertambah, semuanya semakin jelas dan bermakna.

“Saya rapat dengan dia dari usia muda jadi banyaklah yang baik, nasihat-nasihat itu. Macam dia kata, kita seharusnya tidak berkelakuan jahat kepada mana-mana orang.

“Kalau kita buat begitu, tak baik, ia adalah sesuatu yang buruk. Jangan juga berpandangan tidak baik kepada orang lain. Saya pada usia muda tidak begitu mengerti tapi sekarang betul.

“Itu adalah panduan asas kehidupan yang digunakan di seluruh dunia upaya kita boleh hidup dengan orang lain dalam keadaan mesra,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program perkongsian daripada waris tokoh-tokoh negara anjuran Khazanah Nasional di Taman Tugu pada Ahad.

Selain Nanta Linggi, waris Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan dan Tun Dr Ismail turut hadir, berkongsi kisah kehidupan mereka bersama tokoh-tokoh berkenaan.

Bagi Ahli Parlimen Kapit itu, tempat lahirnya Tun Jugah, beliau menyambut baik usaha menganjurkan program mengimbau sejarah dan mengenali tokoh negara seperti itu.

“Generasi muda kita seharusnya kita selalu terapkan kepada minda mereka apa sebenarnya berlaku, mengapa Malaysia ini diwujudkan dan semangat di sebalik penubuhannya.

“Ia adalah penting supaya kita mengelak daripada…sebab Malaysia ini berbilang kaum, agama, budaya, jadi berpuak-puak itu tidak berlaku sangat.

“Memang kita akui Malaysia ada pelbagai etnik tapi jangan itu jadi punca kejadian buruk berlaku terhadap kita. Kita sepatutnya raikan perbezaan itu supaya kita bersama membela, membina Malaysia ini,” ujarnya.

Baginya, kata-kata hikmah dari datuknya itu akan tetap menjadi pegangan dan ingatan buatnya selama-lamanya.