Keputusan untuk terus kekal dalam Pas atau tidak, terserah kepada Nasharudin Mat Isa Sendiri.

Begitulah kenyataan daripada Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan hari ini berikutan pengguguran bekas timbalan presiden pas itu dalam Majlis Syura Pas sejak 13 Januari lalu.

Ahmad Maslan ketika dihubungi Astro Awani berkata beliau tidak ingin membuat apa-apa spekulasi terhadap langkah Nasharudin seterusnya kerana itu merupakan hak beliau sendiri.

Kata beliau, apa pun keputusan Nasharudin yang terbaik untuk beliau melihat kepada situasi yang berlaku kepada politik masa kini.

"Saya kira beliau seorang yang mempunyai keperibadian yang tinggi dan mulia. Ke mana juga yang beliau ingin pergi selepas ini itu terpulang kepada beliau.

“Samada beliau terus ingin menjadi ahli Pas atau beliau ingin menjadi bebas atau ke mana sahaja itu adalah hak dan pilihan beliau sendiri. Kami belum boleh buat apa-apa spekulasi terhadap apa-apa langkah beliau seterusnya,” kata beliau ketika diajukan soalan samada Umno sedia menerima Nasharuddin dalam parti itu.

Sementara itu pengguguran tersebut disifatkan Ahmad sebagai bukti bahawa Pas mempunyai masalah dalaman yang tertentu.

Sambil memuji Nasharudin sebagai seorang yang progresif, kata beliau lagi Pas bukanlah sebuah parti demokratik yang boleh menerima pandangan-pandangan yang berbeza.

"Saya kira pas tidak boleh lagi mendabik dada sebagai sebuah parti yang menjulang kepimpinan ulama. Dan seorang ulama yang baik seperti beliau juga digugurkan daripada Majlis Syura... itu satu lagi tamparan yang hebat kepada kepimpinan Pas.

“Dulu Pas kata mendokong kepimpinan ulama. Namun yang menang dalam kepimpinan tertinggi Pas tidak berapa ramai ulama dan lebih kepada orang-orang biasa yang tak ada banyak bedanya dengan parti-parti lain,” kata Ahmad.

Ahli parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa, telah digugurkan sebagai ahli Majlis Syura Pas, badan tertinggi di dalam parti berkenaan.

Beliau dikenakan tindakan tersebut kerana dikatakan bersalah melanggar peraturan parti.