Skip to main content

Malaysia

Sektor korporat diseru beri peluang kepada golongan cacat penglihatan - Nancy

Nancy menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Amal "Night of Brilliance" Sempena Ulang Tahun ke-75 Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.  -- fotoBERNAMA
Nancy menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Amal "Night of Brilliance" Sempena Ulang Tahun ke-75 Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi. -- fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Sektor korporat diseru menawarkan pekerjaan, latihan dan peluang adil kepada golongan cacat penglihatan sebagai pelaburan dalam potensi insan, bukan sekadar amal kebajikan.
  • Statistik JKM menunjukkan 71,441 OKU penglihatan berdaftar di Malaysia, dengan 43.2 peratus berusia 60 tahun ke atas, menandakan keperluan perkhidmatan mudah diakses.
  • MAB memperuntukkan RM10 juta untuk menubuhkan Pusat Latihan Serantau di Temerloh, Pahang, sebagai hab latihan pertama untuk golongan cacat penglihatan ASEAN.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sektor korporat diseru memberi peluang kepada golongan cacat penglihatan dengan menawarkan pekerjaan, latihan dan peluang yang adil kerana sokongan terhadap komuniti berkenaan merupakan pelaburan dalam potensi insan dan bukannya sekadar amal kebajikan.  

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata syarikat yang melaksanakan pengambilan pekerja secara inklusif akan mendapati golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan mempunyai dedikasi, ketabahan dan kemahiran.

“Kepada sektor korporat, sokongan anda terhadap Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) bukanlah satu bentuk kebajikan, sebaliknya pelaburan dalam potensi insan. Berikan peluang kepada golongan cacat penglihatan untuk mengetengahkan bakat mereka. 

Advertisement

“Ambil mereka bekerja, berikan latihan dan peluang yang adil. Anda akan mendapati mereka mempunyai dedikasi, ketabahan dan kemahiran,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Gala Amal Ulang Tahun ke-75 MAB, "Night of Brilliance", di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Presiden MAB Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar.

Advertisement

Nancy berkata kerajaan meletakkan aspek keprihatinan, ihsan dan keterangkuman sebagai teras pembangunan negara, namun menegaskan bahawa tanggungjawab itu tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata dan memerlukan kerjasama rakan strategik seperti MAB.

Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Malaysia merekodkan 71,441 OKU penglihatan berdaftar setakat 31 Okt, iaitu 8.16 peratus daripada keseluruhan 875,840 OKU berdaftar, dengan 43.2 peratus daripadanya berusia 60 tahun dan ke atas, sekali gus menunjukkan peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan yang mudah diakses, teknologi bantuan dan program kehidupan berdikari.

Bagi memperkukuh sokongan kebajikan yang lebih bersasar, beliau berkata Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) baru-baru ini meluluskan penubuhan subkategori Pekak-Buta di bawah kategori Kurang Upaya Pelbagai bagi menangani jurang data pendaftaran sedia ada.

Sementara itu, MAB dalam kenyataan sempena majlis gala berkenaan memaklumkan persatuan itu telah memperuntukkan RM10 juta daripada sumber kewangannya sendiri untuk menubuhkan Pusat Latihan Serantau (RTC) MAB di Temerloh, Pahang, dengan majlis prapelancaran rasminya berlangsung malam tadi.

Dibangunkan sebagai hab latihan serantau pertama di Malaysia untuk golongan cacat penglihatan dari seluruh ASEAN, RTC menghubungkan latihan vokasional praktikal merangkumi agroteknologi dan hidroponik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kemahiran digital, kraf tangan, makanan dan minuman, hospitaliti serta keusahawanan dengan laluan ke arah pekerjaan mampan dan keusahawanan.

Tengku Azlan berkata sejak penubuhannya pada 21 Nov 1951, MAB telah berkembang menjadi rakan strategik kerajaan dalam membangunkan keupayaan serta memperjuangkan hak golongan OKU.

“Pada ketika negara kita masih belum mencapai kemerdekaan, pengasas persatuan menyedari bahawa golongan buta berhak mendapat lebih daripada sekadar simpati dan bantuan kebajikan. Mereka berhak mendapat pendidikan, peluang, maruah serta keupayaan untuk menjalani kehidupan secara berdikari,” katanya.

Pada majlis itu, Nancy turut menyempurnakan pelancaran Koleksi Setem Peringatan Ulang Tahun ke-75 MAB dan Sampul Surat Hari Pertama yang dikeluarkan dengan kerjasama Pos Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement