Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa tidak disenaraikan sebagai calon PAS untuk medan tempur politik Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengesahkan perkembangan itu sehari selepas pengumuman keanggotaan Nasharudin digugurkan daripada Majlis Syura Ulama PAS.

"Dia (Nasharudin) masih kekal sebagai ahli PAS, nama dia tidak ada dalam kawasan pencalonan", kata Nik Aziz ketika ditemui di kediamannya oleh Astro Awani di Pulau Melaka pada Isnin.

Nik Aziz juga menyifatkan perkembangan itu sebagai lumrah biasa dalam sesebuah parti politik.

"Suami isteri pun bercerai. Suami isteri lagilah, siap ada mas kahwin dan sambut dengan paluan gendang pun bercerai jugak", ujar Nik Aziz.

Nasharudin kini memegang status sebagai ahli biasa Pas selepas digugurkan daripada Majlis Syura bertarikh 13 Januari lalu atas alasan gagal memberi komitmen terhadap tugasnya sebagai anggota majlis itu.

Dalam pada itu, PAS yakin keputusan Majlis Syura menggugurkan keahlian bekas Nasharudin tidak menjejaskan momentum parti itu untuk menempuh pilihan raya umum ke-13 nanti.
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali menyifatkan kesiapsiagaan Pas menjelang PRU-13 berada dalam keadaan baik.
 
"Sokongan terhadap PAS tidak akan terjejas dengan keputusan Majlis Syura itu," kata Mustafa ketika dihubungi Astro AWANI.

Juga Baca:

Mustafa: Isu Nasharuddin tidak jejas Pas


Mendaulatkan Islam lebih penting daripada parti

Hasan Ali: Nasharudin mungkin dipecat