KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menggesa Kerajaan Persekutuan agar tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hak kerakyatan anak yang lahir di luar negara daripada wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing.

Ketika berucap membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin, Nazri menegaskan keputusan tidak memberikan kerakyatan terhadap anak wanita warganegara Malaysia itu merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap wanita.

Hujah Nazri, keputusan tersebut merupakan pemikiran abad pertengahan (medieval thinking) yang tidak sepatutnya berlaku pada tahun 2021.

"Saya tidak bersetuju kalau sekiranya kerajaan membuat rayuan di atas keputusan yang telah dibuat oleh hakim di Mahkamah Tinggi. Saya langsung tidak bersetuju.

"Kerana kebiasaannya, rayuan ini selalunya diberikan kepada pihak defendan yang kalah dalam kes membawa terhadap kerajaan atau kerajaan mendakwa dia di bawah akta Kanun Keseksaan.

"Tetapi apabila Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan, maka kepada saya kerajaan tidak perlu merayu. Jadi saya mintalah kerajaan adalah ihsan kepada kaum wanita kita dan kepada anak yang tidak berdosa.

"Anak ini bukan dia boleh minta dalam perut mak dia, mohon supaya dilahir di Malaysia. Kita bukan sahaja melakukan diskriminasi terhadap kaum wanita tetapi kita melakukan satu kesalahan kepada bayi yang tidak tahu menahu langsung kalau dia lahir di luar negara maka dia tidak boleh menjadi warganegara Malaysia," katanya.

Tarik balik rayuan gugurkan keputusan Mahkamah Tinggi - Nazri Aziz


Nazri juga kesal dengan jawapan kerajaan terhadap hak kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara kerana setiap individu boleh membuat keputusan memilih kerakyatan ketika berusia 18 tahun.

"Jadi pada saya sebenarnya pihak kerajaan tidak ada apa-apa alasan melainkan apa yang dilakukan ini merupakan satu medieval thinking. Jadi saya seperti juga Sultan Johor, bersetuju kalau boleh kerajaan ini mesti bersikap sayang.

"Keluarga Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh perdana menteri yang baru iaitu kita satu keluarga, tetapi dari peringkat awal anda menolak indvidu yang mahu menjadi warganegara Malaysia tanpa memberi hak kepada dia untuk memutus, saya rasa ia tidak adil.

"Saya fikir kerajaan tidak bersikap seperti mana yang dimahukan oleh perdana menteri iaitu kita adalah keluarga besar, kita tidak sepatutnya mengurang keluarga kita tetapi kita menambah.

"Jadi saya minta kepada kerajaan, tarik balik lah, no point, tidak perlu. Kalau rakyat Malaysia lahir di Amerika, mereka akan cari setelah mereka berusia 18 tahun kerana ingin menuntut cukai pendapatan mereka. Begitulah sepatutnya kita berfikir," katanya lagi.

Pada 9 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Bagaimanapun pada 13 September lalu, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.