Skip to main content

Malaysia

Program KL-YES buka peluang pelajar Malaysia tingkat keyakinan diri

Kedutaan Amerika Syarikat
Kuhan Kandiah Chelvanathan, berkata, lebih 800 pelajar Malaysia mengikuti program berkenaan yang memberi peluang kepada golongan muda untuk memperluas pengalaman antarabangsa, meningkatkan kemahiran komunikasi serta mengukuhkan kefahaman silang budaya. - Kedutaan Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR: Seramai 23 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyertai Program Pertukaran Pelajar Kennedy-Lugar Youth Exchange and Study (KL-YES) pulang ke tanah air selepas menamatkan program selama enam bulan di Amerika Syarikat (AS). 

Sepanjang program itu, mereka menetap bersama keluarga angkat dan mengikuti pembelajaran, sekali gus memberi peluang untuk mendalami budaya serta cara hidup masyarakat AS. 

Pengarah Kebangsaan Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia, Kuhan Kandiah Chelvanathan, berkata program berkenaan berjaya meningkatkan keyakinan diri peserta, khususnya dalam kalangan pelajar yang berasal dari kawasan luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah. 

Beliau berkata, kebanyakan pelajar Malaysia yang menyertai program itu pada awalnya bersifat pemalu dan kurang yakin untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

"Namun selepas enam bulan berada dalam persekitaran yang memerlukan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan bahasa lain, perubahan yang ditunjukkan amat ketara.

"Mereka datang daripada pelbagai latar belakang, termasuk kawasan luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah, tetapi berjaya membawa perubahan besar kepada diri sendiri.

"Kita dapat melihat tahap keyakinan mereka meningkat dengan ketara. Walaupun tempoh program ini hanya lima bulan, perkembangan yang ditunjukkan amat memberangsangkan dan kami berharap pengalaman ini menjadi batu loncatan untuk pendidikan, pengajian tinggi serta kerjaya mereka pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis sambutan kepulangan pelajar-pelajar itu, di sini pada Isnin.

Sementara itu, seorang peserta, Nur Arissya Qistina Azmin berkata, pengalaman tinggal bersama keluarga angkat berbeza agama membuka ruang untuk memahami kepelbagaian budaya dan kepercayaan.

"Keluarga angkat saya bukan beragama Islam, sebaliknya beragama Buddha. Namun mereka sangat menghormati agama saya dan sentiasa memastikan makanan halal disediakan sepanjang saya berada di sana.

"Saya amat bersyukur kerana walaupun berlainan agama, mereka menghormati segala perkara berkaitan Islam," katanya.

Menurutnya, pengalaman berada di AS mengubah persepsinya terhadap masyarakat negara itu.

"Orang di Amerika bukanlah seteruk yang sering kita sangkakan. Apabila saya tiba di sana, saya dapat melihat sendiri betapa meriahnya dan indahnya negara mereka.

"Saya juga mendapati masyarakat di sana sangat terbuka dan mesra terhadap orang luar," katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta lain, Neoh Sher Meng menjelaskan pemilihan penerima biasiswa KL-YES bukan semata-mata berdasarkan pencapaian akademik.

"Biasiswa ini bukan berdasarkan merit akademik sahaja, sebaliknya turut mengambil kira personaliti serta pengetahuan mengenai tradisi dan budaya.

"Saya sendiri membuat banyak kuiz mengenai AS dan mempelajari sejarah negara itu sebelum menyertai program ini," katanya.

Program KL-YES yang dilancarkan pada 2004 adalah program pertukaran pelajar peringkat sekolah menengah yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan AS menerusi Kedutaan AS di Malaysia dengan kerjasama Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia.

Sejak diperkenalkan, lebih 800 pelajar Malaysia telah mengikuti program berkenaan yang memberi peluang kepada golongan muda untuk memperluas pengalaman antarabangsa, meningkatkan kemahiran komunikasi serta mengukuhkan kefahaman silang budaya. 

Must Watch Video

Advertisement