Skip to main content

Malaysia

NCT Alliance mula serah unit Fasa 1 NSIP, lancar KM2

NCT TB
Penyerahan kunci secara simbolik kepada pemilik pertama unit siap Fasa 1 NCT Smart Industrial Park membuka laluan kepada perniagaan untuk memulakan operasi. - Gambar NCT
Advertisement

SEPANG: NCT Alliance Berhad memulakan penyerahan milikan kosong Fasa 1 NCT Smart Industrial Park (NSIP), menjadikannya pembangunan pertama di bawah Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS) yang mencapai tahap berkenaan.

Pengarah Eksekutif Kumpulan NCT Alliance Berhad, Yap Chun Theng berkata, pencapaian itu menandakan peralihan NSIP daripada peringkat pembangunan kepada operasi, disokong kerjasama kerajaan, institusi kewangan dan rakan industri.

Menurutnya, Fasa 1 merangkumi 280 unit perindustrian yang dilengkapi kemudahan solar dengan kadar pengambilan hampir 90 peratus, mencerminkan sambutan pasaran terhadap pembangunan tersebut.

“Apa yang bermula sebagai sebidang tanah kosong kini telah menjadi pembangunan pertama di bawah IDRISS yang menyerahkan unit siap kepada pembeli dan memasuki fasa operasi.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha semua pihak yang telah menyumbang kepada projek ini, termasuk agensi kerajaan, institusi kewangan, rakan industri, pembeli serta seluruh warga NCT,” katanya pada Majlis Mercu Tanda NSIP di sini pada Selasa.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Alliance Berhad, Datuk Seri Yap Ngan Choy serta Pengarah Eksekutif Nct Alliance Berhad, Datuk Yap Fook Choy.

Image
NCT INSERT
Amirudin Shari (tengah) menandatangani plak sebagai tanda siapnya Dataran NCT, disaksikan Datuk Seri Yap Ngan Choy (kiri), serta Datuk Yap Fook Choy (kanan). - Gambar NCT

Dalam perkembangan sama, Chun Theng berkata, NCT Alliance turut melancarkan KM2 di Fasa 2 bagi memperluas penawaran ruang pembuatan dan perindustrian di NSIP.

“Fasa 2 meneruskan visi yang sama pada skala yang lebih besar, dengan ruang pembuatan dan perindustrian yang lebih luas bagi memenuhi keperluan pelbagai jenis perniagaan.

“KM2 merangkumi 241 unit, termasuk kilang sesebuah, berkembar, kluster dan teres, serta lot tanah perindustrian, yang kesemuanya disokong oleh infrastruktur pintar yang dipertingkatkan,” katanya.

Mengulas prospek pertumbuhan, beliau berkata, NSIP berpotensi menarik syarikat dalam sektor pembuatan termaju, logistik, pusat data serta industri lain yang berteraskan teknologi.

Jelasnya, peningkatan penggunaan automasi, kecerdasan buatan dan teknologi Industri 4.0 membuka peluang kepada industri bernilai tinggi yang memerlukan infrastruktur digital, sistem logistik cekap serta tenaga kerja berkemahiran.

Pada masa sama, NSIP turut mengalu-alukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahu mengembangkan operasi dalam persekitaran perindustrian terurus.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan NSIP sebuah ekosistem perindustrian yang pelbagai, di mana syarikat multinasional dan PKS boleh beroperasi bersama serta berkembang dalam satu ekosistem yang sama,” ujarnya.

Chun Theng berkata, tumpuan turut diberikan kepada penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang membantu syarikat meningkatkan kecekapan serta daya saing.

“Bagi para penghuni, kami mahu menyediakan persekitaran yang membolehkan mereka beroperasi dengan cekap dan mengembangkan perniagaan dalam jangka panjang.

“Melalui infrastruktur bersepadu, teknologi pintar, ciri-ciri kelestarian serta perkhidmatan sokongan perniagaan yang disediakan di NSIP, mereka boleh memberi tumpuan kepada operasi teras sambil terus kekal berdaya saing,” katanya.

Image
NTW_INSERT
Jalur Gemilang dikibarkan di Dataran NCT sebagai simbol identiti Malaysia yang menjadi teras NCT Smart Industrial Park (NSIP) dalam usaha meluaskan kehadiran di pentas global. - Gambar NCT

Bagi menyokong keperluan itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama (MoC) antara NCT Alliance dengan SIRIM Berhad dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Kerjasama tersebut akan memperluas akses perniagaan di NSIP kepada perkhidmatan pensijilan serta sokongan penerapan penyelesaian digital bagi meningkatkan produktiviti dan melancarkan operasi harian.

NCT Smart Management Sdn Bhd turut memeterai perjanjian perkhidmatan induk dengan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bagi memformalkan pelaksanaan model taman perindustrian terurus di NSIP.

Model itu menggabungkan pengurusan taman secara berpusat, keselamatan dan perkhidmatan digital untuk menyokong kecekapan operasi perniagaan.

Pembangunan NSIP turut disasarkan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, menarik pelaburan baharu ke Selangor serta menyokong pertumbuhan PKS dan penyedia perkhidmatan tempatan.

Secara keseluruhan, NSIP meliputi kira-kira 910 ekar dengan nilai pembangunan kasar RM10.2 bilion dan dirancang dibangunkan dalam enam fasa bagi menyokong pertumbuhan selatan Selangor sebagai koridor perindustrian strategik.

Must Watch Video

Advertisement