KENYATAAN MEDIA DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI DALAM NEGERI


Integrasi operasi yang berterusan pada tahun 2016 oleh pasukan penguatkuasaan, timbalan pendakwaraya, pegawai pelindung dan ahli Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) berjaya membawa sebanyak 100 sabitan kes melibatkan 33 orang individu di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 berbanding tujuh sabitan sahaja pada tahun 2015.

Peningkatan ketara ini mengikut pecahan sabitan iaitu 79 sabitan kes pemerdagangan orang, sembilan sabitan kes penyeludupan migran dan 12 sabitan kes di bawah Akta Imigresen, Kanun Keseksaan dan akta lain yang melibatkan hukuman penjara antara tiga tahun hingga 10 tahun serta penalti tertentu mengikut peruntukan undang-undang.

Selain itu, seramai 18 individu/majikan telah disabitkan kesalahan pemegangan pasport pekerja secara tidak sah di bawah Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Jumlah kertas siasatan yang dirujuk pada tahun berkenaan juga bertambah daripada 158 kertas siasatan pada tahun 2015 kepada 326 kertas siasatan, menyaksikan peningkatan ketara melebihi dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan ketara kertas siasatan dan pertuduhan mencerminkan komitmen padu dan kerjasama erat penguatkuasa MAPO yang terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan serta badan perundangan iaitu Mahkamah dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam aspek penguatkuasaan, sebanyak 403 kes telah disiasat dan tangkapan telah dibuat ke atas 679 orang individu sepanjang tahun 2016 mengikut jenis kesalahan eksploitasi yang dikenal pasti seperti eksploitasi seks, perkhidmatan paksa, pemindahan organ serta aktiviti menyalahi undang-undang termasuk kesalahan di bawah Akta Imigresen dan penjualan bayi.

Selain itu, seramai 42 orang penjawat awam dari kalangan agensi penguatkuasa telah ditahan, disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya atas kesalahan berkaitan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Dalam aspek pengurusan mangsa, Kerajaan sentiasa memastikan obligasi perlindungan dan penjagaan mangsa berteraskan prinsip hak asasi manusia.

Sehingga Disember 2016 sejumlah 1,130 mangsa telah diberikan perintah pelindungan oleh mahkamah dan ditempatkan di rumah-rumah perlindungan seluruh negara di mana majoriti daripada mangsa yang dieksploitasi adalah wanita.

Berdasarkan statistik bermula Januari 2016 hingga Disember 2016, seramai 16 orang mangsa telah diberi kebenaran bergerak bebas, dan 10 orang mangsa pula telah diluluskan kebenaran bekerja di Malaysia sebelum mereka pulang ke negara asal.

Pemerkasaan program pencegahan dan kesedaran awam menyaksikan MAPO bersama masyarakat melaksanakan sebanyak 11 aktiviti turun padang (engagement) melibatkan penyertaan guna tenaga di sektor perladangan di lokaliti yang berkaitan seperti di Pahang, Johor, Perak, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Selain itu, hebahan media massa turut dipergiatkan melalui iklan Pesanan Khidmat Awam (PSA) sebanyak 4,606 siaran, 1,325 kali siaran trailer di media elektronik, penyediaan artikel di media cetak, penerbitan drama dan telemovie di stesen televisyen tempatan serta pengisian khutbah jumaat berkaitan isu pemerdagangan orang melibatkan 100 buah masjid di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Menyedari hakikat pengurusan yang kompleks ini, MAPO akan terus memastikan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan di bawahnya dapat bergerak proaktif selari dengan hala tuju yang telah ditetapkan.

Kerajaan Malaysia melalui Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) sentiasa komited dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan menyeru semua pihak memainkan peranan yang lebih signifikan dan tuntas dalam menyalurkan maklumat kepada pihak penguatkuasaan.