KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merancang dan melaksanakan dasar meningkatkan literasi digital dalam kalangan warga emas dalam mendepani cabaran semasa.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia seiring kajian yang menunjukkan Malaysia bakal menjadi negara menua pada tahun 2030.

Jelasnya, sekiranya warga emas diberi latihan dan kemudahan untuk memiliki kemahiran digital, ia bakal memberi banyak faedah kepada mereka.

"Dalam zaman teknologi digital ini, kita tidak boleh nafikan semua lapisan masyarakat harus diberi peluang untuk memiliki pengetahuan dan kepakaran dalam bidang tersebut.

"Saya berpendapat bahawa golongan warga emas mesti diberi peluang untuk mempelajari penggunaan teknologi dan digital disamping mereka boleh memahami tentang bagaimana kecanggihan teknologi digital memberi banyak faedah kepada mereka," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pendidikan pencegahan jenayah siber perlu dipertingkat dalam kalangan warga emas.

Ia susulan terdapat peningkatan jenayah siber terutama melibatkan warga emas semasa pandemik COVID-19 melanda negara.

"Pihak kerajaan harus merancang untuk melakukan lebih banyak program dibantu badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendidik golongan warga emas dalam aspek literasi digital.

"Warga emas perlu diberi pendidikan berkenaan bagaimana mereka boleh elakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah siber," katanya.

Malaysia akan menjadi sebuah negara tua menjelang tahun 2030 apabila penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas mencecah 5.6 juta atau 15 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada bertambahnya bilangan warga emas setiap tahun adalah kerana purata jangka hayat bagi kaum lelaki telah meningkat kepada 70.8 tahun, manakala wanita pula kepada 75.6 tahun.