Negara memerlukan sekurang-kurangnya 35 peratus pekerja mahir daripada pelbagai bidang dalam kalangan warga kerja tempatan, selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata bagi mencapai sasaran itu, kerajaan kini giat mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Pelbagai inisiatif juga telah diambil termasuk meluaskan akses kepada latihan TVET termasuk berkolaborasi bersama pihak industri bagi meningkatkan keberkesanan strategi kerajaan ini.

"Selain itu, kerajaan juga giat mempromosikan TVET sebagai laluan utama dalam aliran perdana di pusat-pusat latihan kerajaan dan swasta yang menawarkan program berteraskan TVET," katanya ketika berucap di majlis penyampaian hadiah National Robot Challenge dan pertandingan akhir Teknologi Automobil Proton sempena Karnival Skills Malaysia peringkat Zon Tengah di sini, hari ini.

Ucapan Ismail dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia Amir Omar.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Nidzam Kamarulzaman.

Tambah Ismail, langkah kerajaan dalam menjenamakan latihan kemahiran menerusi jenama Skills Malaysia juga dilihat sebagai pendekatan terbaik dalam menghapuskan stigma masyarakat yang memandang TVET sebagai pilihan kedua.

"Kita perlu sedar dalam konteks dunia hari ini kerap menyaksikan bagaimana kecemerlangan akademik sudah tidak lagi menjadi faktor mutlak kepada kejayaan masa hadapan.

"Kita berharap dengan adanya pertandingan yang diadakan seperti hari ini, akan membuka minda masyarakat dan menarik minat lebih ramai para belia untuk menceburi latihan dalam bidang kemahiran," katanya.

National Robot Challenge dan pertandingan Teknologi Automobil Proton itu merupakan manifestasi kerajaan dalam menterjemah dan membudayakan pembangunan tenaga mahir berkemahiran kepada semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA