MALAYSIA
Peringatan JPJ buat orang ramai: Jangan percaya tawaran 'Lesen Kopi-O’, iklan tersebut palsu!

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan kewujudan iklan menawarkan 'Lesen Kopi-O' atau lesen memandu tanpa ujian atau latihan yang disebarkan secara dalam talian menggunakan nama "Sekolah Memandu Jaya."
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan kewujudan iklan menawarkan 'Lesen Kopi-O' atau lesen memandu tanpa ujian atau latihan yang disebarkan secara dalam talian menggunakan nama "Sekolah Memandu Jaya."
Agensi itu berkata, iklan berkenaan turut menggunakan gambar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dipercayai bagi tujuan memperdaya dan memancing kepercayaan orang ramai terhadap tawaran palsu itu.
"Iklan dan akaun yang terbabit adalah palsu dan tiada sebarang saluran rasmi yang menawarkan pemilikan lesen memandu tanpa melalui prosedur sah seperti latihan dan ujian.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan iklan atau akaun media sosial yang tidak sah seperti ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kerugian,” kata JPJ dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Selasa.
Sehubungan itu, JPJ turut menggalakkan orang awam supaya merujuk terus kepada pihak jabatan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berhubung lesen memandu.
Sebarang aduan rasmi boleh dikemukakan melalui Portal Aduan Rasmi JPJ di pautan: https://jpj.spab.gov.my/.
JPJ menegaskan komitmen mereka untuk membanteras sebarang penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan integriti sistem pelesenan negara dan menyeru masyarakat agar lebih berwaspada terhadap taktik penipuan yang semakin berleluasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami